Categories : Sukan

 

GAMBAR fail Presiden Persatuan Olimpik Malaysia (OCM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar. – Foto NSTP/Ramdzan Masiam

KUALA LUMPUR: Tiga anggota Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, David Grevemberg akan melawat negara ini minggu depan bagi membincangkan kemungkinan Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel untuk kali kedua selepas 1998.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar, berkata delegasi itu akan melawat beberapa gelanggang sukan di sekitar Lembah Klang sebelum membuat penilaian mengenai kemampuan negara ini menganjurkan temasya sukan utama termasuk Sukan Komanwel.

“CGF akan datang ke mari minggu depan untuk melakukan kajian dan melaporkan mengenai kemampuan kita sama ada bersedia menganjurkan Sukan Komanwel 2022 atau mungkin 2026,” katanya.

Tunku Imran berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM kali ke-182 di Wisma OCM, di sini, hari ini.

Katanya keputusan Sukom Ninety Eight Berhad (Sukom ”98) memperkenalkan ragbi tujuh sebelah apabila Malaysia menganjurkan temasya empat tahun sekali itu pada 1998, menjadi titik perubahan bagi CGF memilih negara ini sebagai sebahagian daripada lawatan mereka.

“Ragbi tujuh sebelah tidak akan dipertandingkan di Sukan Olimpik jika Malaysia tidak memperkenalkan acara itu di Sukan Komanwel 1998 dan dunia ragbi juga menerima hakikat acara-acara ini mendapat pengiktirafan yang baik,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kehadiran delegasi tersebut adalah untuk meninjau kemudahan sukan ketika ini walaupun setakat ini Malaysia tidak menunjukkan sebarang minat menganjurkannya.

“CGF datang ke sini untuk meninjau kemudahan yang ada dan kami membenarkan mereka untuk melihatnya. Saya rasa ia adalah elok untuk mengetahui berapa kos untuk menganjurkan temasya ini selepas penilaian dilakukan oleh mereka,” katanya.

Gold Coast, Australia akan menganjurkan Sukan Komanwel 2018 yang akan berlangsung dari 4-15 April. – BERNAMA

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp