Categories : Hiburan

 

DIDIE atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd Ali

KUALA LUMPUR: Kejayaan rakan seperjuangan menceburkan diri dalam bidang penerbitan memberi inspirasi kepada artis komedi dan pengacara popular, Didie Alias, melebarkan sayap untuk mengorak langkah baharu dalam bidang seni.

Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd Ali, 43, juga sedia menempuh risiko apabila tampil dengan produksi sulung iaitu telefilem yang menampilkan Beto Kusyairy dan Nabila Huda selaku teraju utama.

Akur tidak mudah menggalas tanggungjawab berat itu, Didie bagaimanapun berbangga kerana usaha pertamanya yang menjalani penggambaran di Pulau Langkawi, Kedah, membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

“Melihat ramai rakan seperjuangan berjaya melebarkan sayap sebagai penerbit, saya turut terpanggil untuk menceburi bidang yang sama.

“Tidak salah rasanya jika saya mencuba bidang penerbitan pula. Tidak dinafikan, saya perlu berdepan pelbagai risiko apabila menjadi penerbit.

“Namun, saya perlu mencabar diri kerana tidak mahu selamanya berada pada takuk sama. Alhamdulillah, saya mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak untuk menjayakan penerbitan sulung ini,” katanya.

Didie berkata, telefilem sulung terbitan produksinya itu berkisar mengenai konflik keluarga dan kasih sayang serta banyak bermain dengan emosi.

“Biarpun digarap pengarah baharu, Kyall Hamzah, saya berpuas hati dengan hasil kerjanya. Kyall berjaya memberikan jiwanya ketika menggarap telefilem itu,” katanya kepada BH Online.

Selain Beto dan Nabila sebagai watak utama, telefilem yang bakal ditayangkan pada bulan depan di Astro itu turut menampilkan Didie dan Zizan Nin.

Bercerita mengenai perkembangan kerjaya, Didie berkata, drama terbaharu lakonannya, Syurga Tak Sempurna, sedang bersiaran di saluran Hypp TV.

Drama bersiri itu turut membariskan pelakon hebat seperti Raja Ilya, Shah Iskandar dan Zaidi Omar.

“Drama bersiri ini juga sarat dengan air mata kerana memuatkan pelbagai konflik kehidupan. Saya tidak mahu dilihat hanya tampil dengan watak komedi semata-mata.

“Selain berlakon, saya juga sedang mempersiapkan diri untuk mengacara program travelog dengan mempelajari adat istiadat pelbagai etnik di Malaysia,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp