Categories : Semasa

 

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing pada tahun 1990-an, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, menarik balik kesimpulan dibuat pada prosiding minggu lalu berhubung kerugian dialami Bank Negara Malaysia (BNM).

Dr Mahathir turut meminta supaya sebarang kenyataan yang dibuat berkaitan siasatan yang sedang berlangsung, tidak diumumkan kepada orang awam sehingga laporan suruhanjaya itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah yang bertindak sebagai peguam pemerhati kepada Dr Mahathir, berkata kesimpulan itu disifatkan sebagai pramatang dan melanggar perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Sebarang cubaan mendedahkan kesimpulan atau kenyataan berhubung siasatan kepada umum sebelum saksi selesai memberi keterangan dan laporan diserahkan kepada Baginda, adalah pramatang dan tidak boleh dilakukan pada peringkat ini,” katanya.

Mohamed Haniff Khatri membangkitkan persoalan itu dengan memetik laporan portal Free Malaysia Today (FMT) bertajuk `Declaration that BNM lost RM31.5 bilion irks Dr. M’s lawyer’.

Beliau turut memetik laporan Malaysiakini bertajuk `UMNO:  Kerugian forex benar, 1MDB di atas kertas’ yang merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang menggariskan perbezaan antara kerugian pertukaran asing BNM dan 1MDB.

Mohamed Haniff Khatri berkata, pihaknya terpanggil membangkitkan perkara itu bagi mengelakkan pelbagai pihak membuat andaian mengelirukan berhubung prosiding siasatan yang masih berlangsung.

Bagaimanapun, Mohd Sidek pada akhir prosiding pendengaran semalam, menyatakan pihaknya mengambil maklum perkara itu.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp