Categories : Semasa

 

MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 masing-masing terhadap dua pemandu Perodua Myvi yang didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga sekeluarga di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) pada Mei 2015.

Majistret Zilfinaz Abbas memutuskan demikian terhadap penyelia restoran, Siti Noor Aini Mohd Said, 39, dan Mohamad Fizal Reza Jamauddin, 35, yang bekerja sendiri selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Kedua-dua tertuduh turut berdepan hukuman penjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda yang diperintahkan.

Mereka juga hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.

Zilfinaz bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Omar Bakhi Ahmad dan SN Seelan yang mewakili kedua-dua tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan didengar di Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu, jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM14,000 setiap seorang serta syarat tambahan mereka perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran hingga kes selesai.

Terdahulu dalam keputusannya, Zilfinaz mendapati keterangan daripada kedua-dua tertuduh adalah penafian semata-mata selain pembelaan mereka tidak konsisten.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya, Nova Safitri Azhari, 25, serta anak mereka, Nur Firuza Annisa yang ketika itu baru berusia enam bulan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 6, DUKE, arah Ulu Klang ke Jalan Duta, di sini, antara 12.31 tengah malam dan 1.05 pagi, 2 Mei 2015.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz dan Muhammad Farith Muhammad Faizal.

Dalam kejadian yang berlaku pada 2 Mei 2015, Fairuz Nizam, Nova Safitri dan Nur Firuza Annisa yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Putrajaya, maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan sehingga menyebabkan ketiga-tiga mangsa tercampak keluar dari kenderaan mereka.


Tags :

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp