Categories : Sukan

 

ATLET menembak negara, Eddy Chew. – Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Atlet menembak negara, Eddy Chew mahu mencabar dirinya sendiri untuk tampil lebih cemerlang pada Piala Dunia 2017 di New Delhi, India yang berlangsung 22 Februari hingga 4 Mac depan.

Eddy, 22, enggan memberi tekanan pada sasaran warna pingat, sebaliknya akan memastikan penampilan di kejohanan berprestij itu tidak disia-siakan.

Atlet kacukan Melayu-Cina itu berkata, kejohanan Piala Dunia berkenaan menjadi platform terbaik untuk mengukur pencapaiannya dan medan berguna untuk menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, dari 19 hingga 31 Ogos depan.

“Pencapaian terbaik saya dalam 10m Air Pistol adalah 577 mata dan 50m Free Pistol 555 mata ketika beraksi di Kejohanan Menembak Asia di Kuwait tahun lepas. Saya berharap keputusan di Piala Dunia kali ini lebih baik.

“Saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri untuk warna pingat di India. Beraksi di peringkat dunia bukan senang, jadi saya tidak akan sia-siakan peluang dan kepercayaan yang diberikan ini,” katanya.

Eddy berkata sejak berlatih di bawah jurulatih, Park Sang Sun dari Korea Selatan dua bulan lalu, pelbagai elemen baharu ditekankan untuk menjadi seorang penembak terbaik.

Katanya sejak terpilih menyertai program Kita Juara kendalian Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara, prestasinya semakin baik biarpun hanya berlatih di dalam negara.

Eddy meraih sebutir pingat emas acara 50m Free Pistol individu, satu pingat perak Air Pistol individu dan dua gangsa dalam kategori 50m Free Pistol serta 10m Air Pistol berpasukan lelaki pada Sukan SEA Myanmar 2013.

Beliau juga hampir membidik pingat gangsa pada Sukan Komanwel 2014 di Scotland dalam acara 10m Air Pistol individu, namun terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keempat.

Seperti masyarakat Cina lain, Eddy turut menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama saudara-mara sebelah keluarga bapanya di Batu Pahat, Johor.

“Saya akan balik kampung selepas latihan hari ini, hubungan saya dan sepupu sebelah keluarga ayah sangat rapat. Saya akan kembali berlatih pada 1 Februari ini, jadi inilah peluang untuk bersama mereka,” katanya. – BERNAMA

Carian Tronexus.rocks:

  • dortmund pertahanan tengah

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp