Categories : Sukan

 

Elena Goh Ling Yin. – Foto Osman Adnan

LUMUT: Atlet jalan kaki wanita negara, Elena Goh Ling Yin mencatat masa peribadi terbaik, sekali gus merangkul pingat emas acara 10,000 meter jalan kaki wanita di Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, hari ini.

Elena, 21, memperbaiki catatan terbaiknya apabila merakam 51 minit 42.42 saat berbanding 51 minit 45 saat yang dilakarnya ketika Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura 2014.

Penuntut Universiti Malaya dalam bidang pengurusan sukan itu, menewaskan rakan sepasukan yang juga bekas jurulatih dan atlet kebangsaan, Yuan Yufang (54 minit 57 saat), diikuti Nurul Alyahaziqah Kamarazaman dari Kelantan.

Elena berkata dia akan terus memperbaiki catatan masa bagi mencapai hasratnya meraih pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

“Persaingan dijangka sengit pada Sukan SEA nanti, tetapi saya mengidamkan pingat emas selepas gagal memenanginya pada edisi lalu.

“Paling tidak, saya mahu berada di kedudukan ketiga,” katanya ketika ditemui.

Elena terpaksa melupakan aksi sulung pada temasya dwitahunan itu di Naypyidaw, Myanmar pada 2013 kerana perlu memberi tumpuan terhadap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika menuntut di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Dia terus berdepan kekecewaan dalam penampilan pertamanya di Sukan SEA Singapura dua tahun lalu dalam acara 20km jalan kaki, apabila sekadar menamatkan saingan di tempat keempat ekoran kecederaan lutut kanan dan kiri.

Elena yang mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata dia terpaksa berhati-hati setiap kali menjalani latihan agar kecederaannya tidak berulang dan menjejaskan hasratnya meraih emas di Kuala Lumpur nanti.

“Saya terpaksa mendapatkan rawatan di Institut Sukan Negara (ISN) setiap kali latihan terutama ketika latihan berat kerana tidak mahu kecederaan menjadi serius,” katanya.

Bagi acara melontar peluru wanita, pingat emas dimenangi Bibi Nuraishah Ishak dari Kelantan dengan lontaran sejauh 12.83m, mengetepikan pencabarnya dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Norliyana Kamaruddin dan Noor Far Diana dari Perlis.

Atlet lempar cakera kebangsaan, Mohd Irfan Shamsuddin turut menyinar pada kejohanan itu apabila meraih emas selepas dengan lemparan sejauh 56.91m, manakala Luqman Hakim Ramlan dari Kuala Lumpur memenangi pingat emas acara lompat jauh lelaki dengan catatan 7.62 meter.

Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia dan Kejohanan Olahraga Terbuka Perak yang diadakan serentak, berakhir hari ini. – BERNAMA

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp