Categories : Sukan

 

GERARD Deulofeu.

LONDON: Pengurus Everton, Ronald Koeman yang membenarkan pemain sayap, Gerard Deulofeu berhijrah pada bulan ini berkata kelab itu masih berada di pasaran untuk mencari pemain berkualiti dalam jendela perpindahan semasa.

Pemain Sepanyol, Deulofeu kerap diketepikan sejak Koeman membimbing skuad itu dan hanya membuat 13 penampilan dalam semua kejohanan musim ini dengan majoritinya masuk sebagai pemain gantian.

“Saya bercakap dengan Gerard dan ia adalah satu keadaan yang sukar untuk pemain,” kata Koeman pada sidang akhbar semalam.

“Jika dia menemui jalan penyelesaian untuk berhijrah dan dapat beraksi, ia tiada masalah. Tetapi keputusan muktamad di tangan pengurusan kelab.”

Koeman yang menandatangani pemain tengah, Morgan Schneiderlin dari Manchester United dan pemain sayap remaja, Ademola Lookman dari Charlton Athletic, mahu menambah lebih ramai pemain untuk skuadnya tetapi berkata tumpuan diberikan kepada kualiti, bukannya kuantiti.

“Saya harap lebih ramai pemain akan datang,” katanya.

“Kami bekerja keras untuk membentuk pasukan mantap. Tapi kami melihat kualiti, bukan hanya kuantiti.”

Everton berada di kedudukan ketujuh dalam liga selepas menewaskan Manchester City 4-0, Ahad lalu dan akan berdepan pasukan di tangga ke-17, Crystal Palace, esok. – Reuters

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp