Categories : Semasa

 

MAKKAH: Tujuh jemaah haji ‘cedera’ selepas tren Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro – Southern Line (MMMSL) yang mereka naiki dan bergerak pada kelajuan 120 kilometer sejam, berhenti secara mengejut akibat masalah teknikal semalam.

Insiden jam 10.30 pagi (waktu tempatan) ketika tren berkenaan dalam perjalanan dari Stesen Arafah 3 ke Stesen Mudazalifah 1, di sini tiba-tiba mengalami gangguan bekalan kuasa, sekali gus menjejaskan operasinya.

Ia turut mencetuskan panik dalam kalangan jemaah haji lain, namun situasi cemas berkenaan berjaya dikendalikan kumpulan petugas Syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) selaku operator tren metro itu yang paling sibuk dan padat di dunia.

Tempoh 10 minit diambil petugas terbabit bersama pasukan keselamatan dan kecemasan Arab Saudi, termasuk unit paramedik yang dihantar ke lokasi kejadian menggunakan tren sokongan dari Depoh MMMSL, Al-Abdiya sebelum dikejarkan ke hospital melalui stesen berhampiran.

Malah, proses memindahkan penumpang juga berjaya dilakukan dalam tempoh singkat bagi mengelak risiko yang boleh mengancam keselamatan mereka.

Keadaan kembali meruncing apabila stesen pemindahan terbakar sebelum lapan jentera, masing-masing dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Makkah serta Jabatan Pertahanan Awam Arab Saudi  dikejarkan ke lokasi bagi mengawal keadaan.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam insiden kebakaran itu, kecuali dua jemaah yang mengalami sesak nafas.

Ia sebahagian daripada situasi cemas dalam Simulasi Protokol Tindakan Kecemasan (ERP) dilaksanakan Prasarana, khusus bagi memperkukuhkan persediaan menghadapi kemuncak musim haji kali ini.

Pengarah Operasi MMMSL, Burhanordin Ismail, yang mengetuai gerak kerja itu menjelaskan stimulasi berkenaan adalah yang ke-21 sejak persiapan musim haji tahun ini dilakukan pada Julai tahun lalu.

Beliau menjelaskan simulasi itu penting mengukur tahap kecekapan kumpulan petugas, termasuk pasukan penyelamat mengendalikan krisis, terutama pada waktu puncak, selain mengenal pasti kekangan berkaitan.

“Ini juga sebahagian daripada prosedur ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi bagi membolehkan Sijil Keselamatan (SC) dikeluarkan bertujuan membenarkan tren beroperasi.

“Ia juga seiring dengan peningkatan jumlah penumpang bakal dibawa bagi musim haji kali ini yang mencecah 350,000 jemaah untuk berulang alik  antara Arafah, Mudzalifah dan Mina,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia selepas meninjau simulasi berkenaan di Stesen Mina 1, di sini semalam yang turut membabitkan operasi bersepadu pasukan keselamatan dan kecemasan Arab Saudi.

Burhanordin berkata, tren berkenaan memiliki kapasiti penumpang yang jauh lebih tinggi daripada dinyatakan, namun terpaksa dihadkan atas faktor keselamatan dan keselesaan jemaah.

“Dalam mengendalikan situasi krisis, tempoh tindakan diambil amat penting, terutama keberadaan anggota penyelamat di lokasi kejadian.

“Ini bagi mengelak keadaan menjadi lebih rumit sehingga menjejaskan keseluruhan operasi tren,” katanya sambil memaklumkan simulasi turut dipantau Lembaga Pembangunan Wilayah Makkah (MRDA) dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Awam Arab Saudi (PTA).

INFO

  • Perolehan kontrak pengendalian MMMSL oleh Prasarana diumumkan Datuk Seri  Najib Razak di Kuala Lumpur pada 14 Mei 2015
  • Ia disusuli lawatan rasmi Perdana Menteri ke Depoh MMMSL di Al- Abdiya, Makkah pada 7 Jun 2015
  • MMMSL yang dibina China Railway Construction Corporation (CRCC) beroperasi sepenuhnya pada November 2011
  • Dikendalikan CRCC sehingga musim haji 2014 sebelum kontrak pengendaliannya dimenangi Prasarana membabitkan nilai RM910 juta bagi tempoh tiga tahun.
  • 17 tren digunakan MMMSL dengan setiap satu memiliki keupayaan menarik 12 gerabak penumpang sepanjang 300 meter
  • 25 meter panjang setiap gerabak penumpang
  • 120 kilometer sejam kelajuan maksimum

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp