Categories : Hiburan

 

ERRA Fazira. – Foto ihsan errafazira, @amirnaufalphotography)

KUALA LUMPUR: Pelakon jelita, Erra Fazira, 43, mengaku masih berkawan dengan juara Akademi Fantasia (AF) musim kelapan, Shahir Zawawi, 28.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hubungannya dengan pemuda terbabit, selepas cerita membabitkan mereka berdua bagaikan senyap, sejak akhir-akhir ini.

Pada Jun tahun lalu, Erra mengaku menjalinkan hubungan dengan penyanyi berkenaan selepas gosip mengaitkan mereka terpampang di media.

“Saya masih berkawan dengannya,” kata Erra ringkas sambil memberitahu, silaturahim yang terjalin takkan terputus begitu saja.

Sememangnya, kisah cinta ibu tunggal kepada puteri diberi nama Engku Aleesya ini sentiasa menjadi perhatian ramai. Selepas dua kali mengalami keruntuhan rumah tangga, peminat sentiasa mendoakan kebahagiaan wanita terbabit, selain dirinya diharap dapat menemui cinta baharu.

Kata Erra, beliau sendiri tidak dapat meramal apa yang bakal dilaluinya pada masa depan, namun buat ketika ini, dia lebih selesa menikmati kehidupan seperti dilalui sekarang.

“Dalam hal peribadi, saya sebagai manusia hanya mampu merancang, namun keputusan tetap ditentukan oleh Yang Maha Kuasa. Sebagai hamba-Nya, saya percaya Tuhan lebih tahu apa yang terbaik untuk saya,” katanya.

Diusik pertanyaan, apakah Aleesya juga ada bertanyakan padanya mengenai adik baharu, Erra berkata dalam soal itu, beliau memberitahu anak perempuannya, dia perlu menunggu.

“Jika tidak saya, mungkin ayahnya (Engku Emran) yang akan menjadikan perkara itu sebagai kenyataan,” katanya.

Mengenai perkembangan seni, Erra yang kembali hangat selepas membintangi drama Dia Bidadariku, akan ke lokasi penggambaran telefilem sempena raya, tidak lama lagi.

Kata Erra juga, jika tiada aral, beliau akan merakamkan sebuah single baharu dalam masa terdekat.

Sebelum ini, kedengaran cerita Erra akan tampil dengan sebuah lagu kerohanian. Namun Erra berkata, ia masih dalam perbincangan dan belum ada kata putus mengenainya.

“Saya mungkin masuk studio sebelum puasa dan lagu itu akan dipromosikan sekitar musim Aidilfitri nanti,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp