Categories : Sukan

 

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan badan induk bola sepak negara itu sedia untuk mencari alternatif lain bagi menggantikan Mario Gomez selaku pengendali skuad Harimau Malaya.

Malah, pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dilihat sudah tidak berminat untuk mendapatkan khidmat pengendali daripada Argentina itu, selepas dia berkeras mahukan gaji yang lebih tinggi berbanding yang ditawarkan FAM.

“Kami menawarkan AS$25,000 (RM110,900) kepada beliau tetapi beliau meminta AS$40,000 (RM177,600). Adakah itu bukan beliau meminta lebih daripada apa yang kami tawarkan?

“Tidak mengapalah. Kami akan cari individu lain yang betul-betul mahu menjadi jurulatih Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan di laman rasmi FAM, Football Association of Malaysia (Official), hari ini.

BH Sukan sebelum ini melaporkan Tunku Ismail mahukan Gomez sebagai pengendali skuad kebangsaan, namun rundingan gagal mencapai kata sepakat susulan Gomez menuntut gaji yang tinggi.

Mario Gomez. – Foto Hairul Anuar Rahim

Bagaimanapun, Gomez tampil menafikan dakwaan ini apabila menjelaskan dia tidak menuntut gaji yang tinggi, sebaliknya mahukan kontrak selama dua tahun berbanding setahun seperti yang ditawarkan Tunku Ismail kepadanya.

Pada masa sama, Tunku Ismail turut mempertahankan dasarnya yang mahukan setiap jurulatih luar negara dibantu jurulatih tempatan dengan Tan Cheng Hoe dilihat sebagai jurulatih tempatan terbaik di negara ini ketika ini.

Beliau turut menegaskan betapa pemilihan individu yang terbaik bagi membimbing pasukan kebangsaan menjadi keutamaan FAM buat masa ini.

“Saya sedang melakukan kerjasama yang terbaik untuk skuad kebangsaan tetapi penyokong semua bising kata ‘jangan ambil dia lah’, ‘pilih orang lain lah’.

“Kami sudah memulakan projek ini dan meminta beberapa nama untuk dipilih. Cheng Hoe tersenarai dan dilihat sebagai jurulatih yang terbaik buat masa sekarang.

“Betulkah anda semua sayangkan pasukan kebangsaan? Dan betulkah anda semua inginkan perubahan? Apa yang anda semua nak sebenarnya?,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp