Categories : Semasa

 

KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mengedarkan 1,506 Kit Makanan Permulaan (KMP) ke Kelantan, sejurus selepas banjir gelombang kedua melanda beberapa kawasan di negeri itu.

KETUA Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak

Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak, berkata ia sebagai tambahan kepada stok yang dihantar semalam dan hari ini iaitu ketika banjir gelombang pertama.

Katanya, KMP ternyata memberikan keselesaan kepada mangsa banjir terutama pada hari pertama pemindahan.

“Kit ini diisi dengan produk FAMA berjenama Agromas, antaranya biskut, gula, bubur nasi, minuman oat, minuman 3 dalam 1, sardin, sapuan kaya dan bilis serta barangan keperluan seperti cawan dan sudu plastik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kira-kira 5,300 dan 8,487 set KMP masing-masing diedarkan di Terengganu dan Kelantan sepanjang musim tengkujuh pada tahun 2016 dan 2017.

KMP adalah inisiatif berkonsepkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dilaksanakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama FAMA sebagai pembekal kit berkenaan.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula berperanan sebagai agensi yang menguruskan pusat pemindahan banjir seluruh negara.

Pengedaran kit itu mula dilaksanakan sejak musim tengkujuh tahun lalu selain menjadi antara prosedur operasi standard (SOP) yang diambil daripada Model Kemaman Siap Siaga. Model itu diiktiraf sebagai contoh terbaik pengurusan bencana di peringkat tempatan.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp