Categories : Sukan

 

PENGERUSI Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan negeri, Amirudin Shari melakukan tinjauan di Stadium Shah Alam, hari ini. – Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) perlu mengemukakan permohonan secara rasmi kepada kerajaan negeri untuk memohon suntikan dana RM5 juta seperti yang diperlukan persatuan itu bagi melicinkan pengurusan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan negeri, Amirudin Shari, berkata permohonan rasmi perlu dilakukan memandangkan beberapa perkara perlu dibincangkan sebelum suntikan dana itu disalurkan.

“Anggaplah kami sebagai penaja jika mereka mahu membuat permohonan sebegitu. Jadi sebagai penaja ataupun penyumbang, ada beberapa syarat yang ditetapkan agar selaras dengan dasar dan keperluan kerajaan negeri.

“Setakat ini, kami hanya melihat permohonan menerusi media saja dan belum ada apa-apa permohonan dibuat secara rasmi.

“Namun seandainya mereka mahu berbuat demikian, kita sedia pertimbangkan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Stadium Shah Alam, hari ini.

BH Sukan semalam melaporkan FAS mengharapkan belas ihsan kerajaan negeri agar dapat menyalurkan dana RM5 juta bagi membantu melicinkan pengurusan persatuan itu.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, jumlah RM5 juta yang diminta itu adalah kecil berbanding jumlah keseluruhan bajet yang diperlukan persatuan itu.

Bagaimanapun, Amirudin yang juga bekas pengurus pasukan menjelaskan permohonan berbentuk kewangan itu masih perlu mendapat kelulusan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terlebih dulu sebelum apa-apa bantuan kewangan diberikan.

“Permintaan FAS itu membabitkan soal kewangan, jadi saya hanya boleh menyampaikan permohonan itu kepada Menteri Besar. Beliau yang akan membuat keputusan.

“Apapun, ada ruang untuk mengadakan perbincangan dan ia boleh dilaksanakan secara konsensus,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp