Categories : Hiburan

 

DUTA Rumah Kebaya, Fasha Sandha. – Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Fasha Sandha, 33, mengakui sedang berkawan rapat dengan lelaki hampir sebaya, namun belum bersedia melangkah ke fasa seterusnya dalam tempoh terdekat.

Berkenalan kira-kira enam bulan lalu, kata Fasha, sikap menghormati wanita membuatkan dirinya terbuka hati menerima kehadiran lelaki lain dalam hidup selepas kembali solo sejak Januari 2016.

“Sedari dulu, sejak menceburi industri saya tidak berselindung apa-apa daripada peminat jika berkawan dengan sesiapa. Saya tidak mahu kalau saya keluar dengan lelaki tadi, orang akan tertanya-tanya.

“Biarlah saya berterus-terang. Orangnya bukan VIP, selebriti atau teman dalam industri. Sebagai wanita berdikari, saya bukan memandang lelaki berduit kerana saya sendiri mempunyai sumber kewangan yang kukuh. Bukan mahu cakap besar, namun hakikatnya sejak belum berkahwin lagi saya kuat bekerja.

“Apa pun, persahabatan kami agak baharu. Cukup saya katakan usianya dalam lingkungan 30-an. Dia lelaki paling akrab dengan saya kini, yang ucap ‘Good Morning’ dan ‘Good Night’ setiap hari,” katanya apabila diminta mengulas lanjut mengenai keterbukaannya meluahkan perasaan kebelakangan ini.

Tampak anggun ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai Ikon Rumah Kebaya Bangsar, di sini semalam, ibu tunggal kepada dua permata hati itu memaklumkan mahu menikmati zaman solo bersama anak-anak sebelum kembali bergelar isteri.

Memberikan petanda diulit bahagia sebaik saja menyatakan dirinya meminta masa satu setengah tahun lagi, Fasha enggan mendirikan rumah tangga selepas kedua-dua cahaya matanya membesar.

“Biarlah saya berkahwin semula ketika anak-anak masih kecil. Namun, bukan dalam masa terdekat ini. Mungkin selepas satu setengah tahun lagi saya kembali berkahwin. Bukan takut atau serik, cuma sekarang biarlah saya penuhi masa dengan kerja dan anak-anak,” katanya yang berada dalam kategori pelakon terlaris.

Wanita ini turut menegaskan, dua zuriatnya, Putra Rayfal Ramli, 3, dan Putri Raysha Jemaima, 2, menjadi penguat semangat untuk dia melalui kehidupan sekali gus melakar kerjaya cemerlang sebagai aktres disegani.

Sebelum ini, Fasha mendirikan rumah tangga dengan Rizal Ashram Ramli atau Jejai, 40, pada 27 April 2012. Mereka sah bercerai dengan talak satu pada 20 Januari tahun lalu.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp