Categories : Hiburan

 

FAZURA ketika merakamkan lagu Bisa Apa ciptaan Numata di Jakarta.

JAKARTA: Pelakon yang kini turut mencipta nama sebagai penyanyi, Nur Fazura Sharifuddin, mengaku lagu Bisa Apa ciptaan komposer terkenal Indonesia, Numata, yang dirakamkan di Studio Backbeat di sini, sebentar tadi, cukup menyentuh jiwanya.

Fazura, 33 berkata kombinasi melodi dan lirik yang cukup melankolik membuatkan dirinya larut dalam emosi.

“Saat mendengar melodi dan liriknya, saya sudah tertarik dengan lagu terbabit. Ketika merakamkannya pula, saya dapat berasakan perasaan sedih wanita yang ditinggalkan kekasih kerana lelaki itu memilih wanita lain.

“Saya cuba menjiwai perasaan itu sehingga ia terbawa-bawa dalam rakaman dan membuatkan saya sebak,” kata pelakon J Revolusi ini kepada BH Online.

Diusik dengan pertanyaan apakah lagu berkenaan ada kaitan dengan kisah hidupnya, Fazura berkata, sebagai penyanyi beliau cuba menyampaikan amanah komposer dan penulis lirik dengan sebaik mungkin.

“Menyanyi juga seperti berlakon. Saya cuba sampaikan mesej dengan baik dan kalau pendengar dapat rasakan cerita yang saya sampaikan itu seperti kisah benar, bermakna mesej itu sampai,” kata Fazura yang mengambil masa dua jam untuk merakamkan lagu itu.

Beliau merakamkan lagu berkenaan untuk projek album solo pertama dirinya yang dijangka berada di pasaran selepas Aidilfitri nanti.

Album itu diterbitkan oleh Universal Music Malaysia, yang juga bertindak sebagai pengurus kerjaya seninya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp