Categories : Hiburan

 

KUALA LUMPUR: Penyampai Sinar FM, Feeya Iskandar, meminta keizinan suami terlebih dulu sebelum membuat akaun laman sosial khas untuk anaknya, Adam Malique, yang bakal mencecah dua bulan.

Feeya atau lebih mesra dengan panggilan Cik Piah berkata, beliau membuka akaun Instagram untuk Malique bagi berkongsi kenangan tumbesaran anaknya itu bersama peminat selain bertindak sebagai diari harian si kecil.

“Setelah berbincang dengan suami, saya akhirnya membuat keputusan membuka akaun Instagram buat Malique. Biarpun ada kebaikan dan keburukan di sebalik tindakan itu, namun sebagai ibu saya perlu menapis gambar demi keselamatan anak.

“Alhamdulillah, akaun Malique kini sudah mencecah 9,000 ribu pengikut setelah sebulan ia dibuka. Selain merakamkan momen indah pembesaran Malique, akaun itu juga dapat menjadi ‘diari’ untuk dilihat olehnya apabila besar nanti.

“Pada mulanya, saya enggan berkongsi gambar Malique kerana belum cukup 44 hari proses berpantang. Bak kata orang tua, kurang baik memuat naik gambar anak yang masih kecil. Namun, ada beberapa orang yang sering bertanya, oleh itu, saya berkongsi juga wajah Malique bersama mereka,” katanya kepada BH Online.

Feeya mendirikan rumah tangga dengan Nurashid Abd Wahah pada Mei tahun lalu.

Bercerita mengenai perkembangan kerjaya, Feeya bakal memulakan semula tugas di konti pada minggu hadapan.

“Setelah lama berpantang dan menghabiskan masa di rumah, berat hati rasanya hendak meninggalkan Malique untuk kembali bekerja mencari rezeki.

“Nasib baik kerja sebagai penyampai radio hanya memerlukan saya berada di konti selama empat jam sehari dan saya boleh kembali menjalankan tugas sebagai ibu di rumah,” kata Feeya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp