Categories : Semasa

 

ZAILIA Bakri, 39 (tengah) menerima kunci rumah baharu dibina FELCRA daripada ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat (lima kanan). – – Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

BAGAN SERAI: Derita enam beranak tinggal di rumah mendap dan tidak selamat di Kampung Parit Haji Sulaiman di sini, terubat apabila mereka menerima rumah baharu hari ini.

Zailia Bakri, 39, yang mempunyai lima anak menerima kunci rumah berkenaan yang dibina melalui Program Bantuan Rumah (PBR) dan dilaksanakan FELCRA Perak di Kampung Tengah di sini.

“Setelah bertahun terpaksa tinggal di rumah hampir runtuh kerana tanah mendap, kini saya seronok kerana dapat berpindah ke rumah baharu yang lebih selesa bersama anak-anak.

“Saya berterima kasih kepada wakil rakyat, pegawai FELCRA dan pemimpin setempat yang prihatin dan menyegerakan pembinaan rumah baharu bagi menggantikan rumah lama di tanah pusaka keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunci rumah berkenaan yang diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah FELCRA Perak, Yusof Razak, berkata kerja pembinaan rumah baharu bernilai RM45,368 dimulakan pada 24 Oktober tahun lalu dan siap pada 23 Januari lalu.

Katanya, sepanjang tahun 2016, FELCRA menjadi ejen pelaksana bagi projek membina baharu 11 rumah baharu keseluruhan bernilai RM455,400 dan baik pulih 22 rumah membabitkan kos RM250,128 di seluruh daerah Kerian.

Sham pula berkata, kos pembinaan rumah Zailia dibiayai sepenuhnya Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di bawah program PBR.

“Dengan pembinaan rumah baharu dilaksanakan FELCRA, saya berharap keluarga Zailia dapat menjalani kehidupan lebih ceria,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp