Categories : Hiburan

 

FIKRY Ibrahim. – Foto Adi Safri

KUALA LUMPUR: Bermula sebagai pelawak, bakat baharu, Fikry Ibrahim, tidak melihat hakikat berkenaan sebagai masalah besar untuknya menggalas watak serius.

Anak muda berusia 23 tahun dari Kedah ini, yang dicungkil bakatnya menerusi program Lawak Solo, membuktikan beliau juga mampu menjadi serius seperti ditonjolkan menerusi lakonannya dalam drama Hero Seorang Cinderella, yang baru saja berakhir siarannya, semalam.

Dalam drama yang menampilkan Fattah Amin, Nur Fazura, Uqasha Senrose, Zizie Ezette dan Nina Juren itu, beliau diberikan watak Noah Farizzam.

“Saya akur apabila dianggap sukar untuk melakonkan watak serius kerana diri ini sudah dilabel sebagai pelawak. Ia menjadi sedemikian kerana masing-masing sudah melihat saya dari sudut lawak.

“Bagaimanapun, apabila watak Farizzam yang bersikap ceria dan serius itu diwarnakan, percubaan saya dikatakan menjadi. Malah, hingga kini saya mendapat maklum balas positif.

“Bagi saya, dalam berlawak mahupun berlakon, ia menjadi ruang untuk saya mencari rezeki. Jika ada tawaran untuk saya berlawak atau berlakon serius, saya terima. Saya akan cuba tunaikan mana-mana tawaran yang datang dan dilihat sesuai dengan diri ini,” katanya.

Memberi contoh bintang antarabangsa, Eddie Murphy, yang boleh berlawak dan berlakon, Fikry melihat situasi sama dilaluinya sebagai anak seni.

“Eddie Murphy ialah pelawak dan juga pelakon. Orang masih nampak watak lawaknya dalam lakonan, sekalipun membawakan watak serius.

“Jadi, saya fikir, soal pelawak mahu berlakon serius bukanlah masalah besar. Malah, ia juga tidak membebankan. Ia berbalik kepada pelakon itu sendiri, sama ada ingin menjiwai watak diberikan kepadanya sebagai pelawak atau pelakon,” kata artis yang berada di bawah pengurusan Laugh Out Loud Entertainment ini.

Selain lakonan, anak sulung daripada empat beradik ini juga mencuba nasib sebagai pengacara program travelog 12 episod, Jalan Jalan Makan Angin, musim terbaru.

Beliau menjayakan program berkenaan bagi menggantikan pengacara musim pertama, Anas Ridzuan dan Nadzmi Adhwa.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp