Categories : Teknologi Maklumat

 

SEOUL: Samsung Electronics Co Ltd akan mula menjual versi diperbaharui telefon pintar Galaxy Note 7 di Korea Selatan pada 7 Julai ini.

Telefon pintar itu akan menggunakan bateri berbeza daripada sebelum ini yang menyebabkan model telefon berkenaan terbakar tahun lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Samsung memaklumkan ia akan menawarkan 400,000 telefon yang dikenali Galaxy Note 7 Fan Edition, di negara asalnya pada harga 699,600 won (AS$611), kira-kira 30 peratus lebih rendah berbanding harga pelancaran asal Note 7 itu.

Bateri bagi peranti yang diperbaharui itu akan mempunyai kapasiti lebih rendah berbanding Note 7 yang asal, tetapi mendapat kelulusan keselamatan baharu yang dikenakan berikutan panggilan semula sebelum ini.

Pengeluar telefon pintar terbesar dunia dari segi jumlah itu terpaksa menghentikan penjualan Note 7 pada Oktober tahun lalu, kira-kira dua bulan selepas pelancarannya, berikutan bateri yang mudah terbakar dari dua pembekal yang berbeza.

Insiden itu menjejaskan Samsung lebih AS$5 bilion dalam keuntungan operasi dan merosakkan reputasinya, meskipun firma itu pulih dengan pelancaran Galaxy S8 yang berjaya.

Awal tahun ini, firma itu menyatakan ia merancang menjual Note 7 yang diperbaharui selepas penyiasatan oleh Samsung dan firma bebas menyimpulkan bahawa bateri bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebakaran.

Samsung juga merancang untuk mengadakan acara pelancaran bagi Note 8 pada separuh kedua Ogos, kata sumber kepada Reuters bulan lalu.

Firma itu berkata, ia akan memutuskan sama ada untuk menjual Note 7 yang diperbaharui di pasaran lain pada masa akan datang.

Ia mengatakan bahawa ia tidak merancang untuk menawarkan peranti itu di Amerika Syarikat (AS) atau India. – Reuters

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp