Categories : Hiburan

 

PELAKON Gambit Saifullah. – Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Pernah ‘lesap’ dari dunia hiburan gara-gara bermulut celupar, pelakon Gambit Saifullah, 32, mengaku lebih matang dalam merencana karier seni.

Mula aktif sejak setahun lalu selepas dua tahun membawa diri, Gambit bagaimanapun tidak menyesal dengan apa yang terjadi.

Ini kerana baginya, kesilapan lalu mengubah dirinya menjadi insan lebih baik dan tahu hala tuju dalam karier lakonan.

“Alhamdulillah, saya masih di sini. Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang pernah dilalui.

“Saya bersyukur…Saya lebih jelas dengan apa yang saya inginkan dalam karier,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Gambit sering dikaitkan dengan masalah disiplin selain sikap ‘mulut lepas’ dalam mengutarakan pandangan dalam pelbagai perkara.

Namun, selepas menjayakan filem Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng, Gambit kembali menjadi bualan peminat apatah lagi selepas muncul dalam drama rantaian popular, Isteri Tuan Ihsan.

Gambit yang pernah membintangi filem Karipap-Karipap Cinta memberitahu, dia mahu mencuba nasib dalam bidang pengarahan.

“Sekarang saya lebih faham menyusun strategi kerjaya seni. Saya tahu bagaimana mahu mengimbangkan diri dalam filem atau drama, selain genre berat atau komersial.

“Sebagai contoh, ada masanya saya akan terbabit dengan karya berat. Pada masa lain pula saya akan berlakon mengikut permintaan pasaran seperti drama Isteri Tuan Ihsan,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp