Categories : Semasa

 

KOTA KINABALU: Perbuatan seorang murid Tahun Enam memukul murid Tahun Satu sehingga tidak sedarkan diri, Isnin lalu, adalah tindakan ganas yang tidak sepatutnya berlaku di sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Datuk Chong Sin Woon, berkata perbuatan di luar jangkaan itu sangat mengejutkan, lebih-lebih lagi ia membabitkan murid sekolah rendah.

“Secara peribadi, saya sangat terkejut..betapa ganasnya murid sekolah rendah boleh buat perkara itu, hingga menyebabkan kematian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Khas Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) 2016 bagi negeri Sabah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Teo Chee Kang; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Kamarlin Ombi dan Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mohd Kassim Ibrahim.

Sin Woon berkata, pihaknya masih menunggu hasil siasatan polis berhubung kes itu sebelum mengenal pasti tindakan susulan bagi mengelakkan kejadian seperti itu berulang.

Isnin lalu, seorang murid Tahun Satu tidak sedarkan diri di asrama sekolah itu dengan kesan lebam pada muka dan badan, dipercayai dibelasah seorang murid Tahun Enam.

Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sibu, petang kelmarin.

Selain itu, beliau menyifatkan isu buku teks yang `membuang’ nama Tun Dr Mahathir Mohamad daripada senarai Perdana Menteri Malaysia sebagai satu tohmahan politik yang melampau.

“Ia satu tohmahan politik yang teruk terhadap kementerian. Kita tidak mungkin boleh menafikan bahawa Tun Mahathir pernah menjadi Perdana Menteri, itu dalam sejarah.

“Buku teks kita tetap menyatakan semua fakta yang berlaku dalam negara kita. Sebab itu, kita tidak menggalakkan sekolah membeli buku teks atau buku kerja dikeluarkan syarikat swasta tanpa memeriksa kandungannya,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp