Categories : Jenayah

 

TIMBALAN Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Yahaya Hassan. – Foto Ravale Savarinathan

TELUK INTAN: Seorang lelaki dipercayai gelandangan ditemui mati dengan kesan kecederaan di bahagian kepala di kaki lima sebuah bangunan kedai di Taman Desa Aman, Batu 6, Jalan Maharaja Lela, di sini pagi tadi.

Mangsa, V Arokiasami, berusia lingkungan 50an ditemui mati oleh beberapa penduduk yang sedang berjoging di kawasan itu sebelum memaklumkan kepada polis selepas melihat percikan darah pada dinding di tempat mangsa ditemui mati.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Yahaya Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 10.50 pagi dan siasatan menemui dua kesan koyakan di bahagian atas kepala dan dahi.

“Kami merampas sebatang besi panjang disyaki digunakan suspek sebagai senjata untuk menyerang mangsa.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dihentak menggunakan objek tajam ketika tidur berdasarkan percikan darah pada dinding dan lantai.

“Mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, ” katanya di sini hari ini.

Difahamkan, berikutan kejadian itu polis menahan seorang lelaki yang juga gelandangan bagi membantu siasatan.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp