Categories : Hiburan

 

KUALA LUMPUR: Astro Oasis akan memastikan program pertandingan realiti nyanyian pertama siaran saluran terbabit, Gema Gegar Vaganza (GGV), yang mempertaruhkan lagu ketuhanan menepati syariat Islam.

GGV dikatakan mengambil konsep program popular yang kini sudah memasuki musim ketiga, Gegar Vaganza, dari aspek penerbitan dan pemarkahan.

RAQIM Ahmad

Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, berkata pihaknya mempunyai penasihat yang bakal memantau pengisian rancangan supaya kekal dengan matlamat memberikan impak dan dapat menarik penonton baharu.

“GGV ialah pembaharuan dilaksanakan Astro Oasis selepas sedekad bersiaran. Pemilihan dendangan mestilah bersifat Islamik dan perlu selari dengan imej saluran ini,” katanya pada majlis pelancaran dan sesi memperkenalkan 10 peserta program itu di sini, hari ini.

Musim pertama membariskan empat peserta berkumpulan iaitu Hijjaz, Saujana, Mirwana dan UNIC selain enam penyanyi solo yang terdiri daripada Hafiz Hamidun, Ana Raffali, Bienda, Azmi Caliph Buskers, Izam EYE serta Wani.

Menampilkan Farihin Abdul Fatah dan selebriti Indonesia, Oki Setiana Dewi, selaku juri tetap, program yang diadili sepenuhnya juri profesional termasuk seorang juri undangan mingguan itu bakal dikendalikan Siti Nordiana, Achey (Bocey) serta Fikri (Lawak Solo).

Juara GGV bakal membawa pulang ganjaran wang tunai RM100,000; naib juara RM30,000 dan RM20,000 untuk tempat ketiga, manakala pemenang keempat menerima RM10,000. Masing-masing turut meraih trofi.

Orang ramai boleh mengikutinya menerusi saluran Astro Oasis (106), Maya HD (134), Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Sepuluh peserta berkenaan memulakan cabaran selama lapan minggu dengan episod pertama pada 8 April depan yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB Cheras, mulai jam 9 malam.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp