Categories : Hiburan

 

KUALA LUMPUR: Pengarah, Ahmad Idham, beranggapan kejayaan filemnya yang ditayangkan sempena hari raya, Minah Moto, meraih kutipan hampir RM500,000 dalam tempoh seminggu adalah hasil sokongan peminat motosikal di negara ini.

Katanya, tiada faktor lain yang membantu filem terbabit, termasuk Skim Wajib Tayang di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Justeru, katanya, pihak berkenaan harus mengkaji skim berkenaan dengan lebih mendalam agar filem tempatan tidak dianaktirikan di negara sendiri.

Idham yang dihubungi BH Online hari ini berkata, beliau sememangnya kecewa kerana perkara itu pernah disuarakan kepada pengurusan perbadanan bagi mencari jalan membantu penerbit tempatan menyuarakan pandangan, supaya filem tempatan dan antarabangsa dapat bersaing dengan lebih baik.

“Saya melihat kelemahan pada sistem Wajib Tayang apabila tiada usaha di pihak mereka untuk menyuarakan pandangan penerbit kepada pempamer agar filem tempatan tidak ditarik balik tayangannya dalam tempoh dua minggu hanya kerana mahu memberi laluan kepada judul antarabangsa.

“Saya kecewa apabila ada pawagam yang menarik keluar tayangan filem saya dengan mengambil kira kutipan kurang memuaskan pada tayangan tiga hari pertama Hari Raya, seterusnya memberikan laluan kepada filem Hollywood, Transformers: The Last Knight.

“Mengikut logiknya, memanglah tiada orang yang akan ke pawagam dalam tempoh itu kerana masing-masing masih dalam ‘mood’ beraya.

“Dengan bantuan Wajib Tayang, menerusi budi bicara masing-masing, perkara itu sepatutnya masih boleh dipertimbangkan. Walaupun beberapa pawagam menarik keluar filem terbabit, namun saya masih bernasib baik kerana pada tayangan hari keempat, jumlah penonton terus meningkat di beberapa lokasi.

“Antara 500 hingga 600 penonton menyaksikan filem itu sehari dan ada pawagam yang kecil penuh dengan kehadiran ramai geng motosikal,” katanya mengenai naskhah yang diterbitkan Aifa Motion Pictures.

Filem Minah Moto yang mula ditayangkan pada 25 Jun lalu dilakonkan oleh Dayana Roza, Ariz Lufias, Cat Farish, Julia Hana dan Aliff Yasraf. Ketika ini, ia masih diputarkan di 36 pawagam, daripada jumlah asal 43 panggung.

Ia mengisahkan Aminah, seorang gadis yang cantik tetapi berperwatakan kasar seperti lelaki. Selepas menamatkan persekolahan, Aminah bekerja di bengkel motosikal milik bapanya.

Aminah juga menyimpan hasrat memiliki motosikal RXZ dan apabila impiannya tercapai, bermulalah kehidupan Aminah sebagai Minah Moto.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp