Categories : Jenayah

 

Sibu: Seorang pemilik gerai makanan dibebaskan dengan jaminan polis, di sini selepas ditahan kerana disyaki menghidangkan daging anjing di premis perniagaannya semalam.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar ketika dihubungi memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap lelaki berusia 54 tahun itu mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyeksa dan membunuh haiwan secara haram.

“Keterangan suspek sudah diambil dan lelaki berkenaan sudah dibebaskan (dengan jaminan polis). Siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung kes berkenaan,” katanya melalui aplikasi WhatsApp kepada BH, di sini petang tadi.

Dev mengulas mengenai penahanan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah batu di Jalan Rambutan, di sini petang semalam susulan maklumat risikan mendapati premis berkenaan dijadikan pusat penyembelihan anjing.

Difahamkan, sepasukan lapan pegawai dan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu dengan kerjasama Jabatan Veterinar dan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menyerbu premis terbabit selepas mendapat maklumat awam mengenai kegiatan berkenaan.

Terdahulu, anggota polis berpakaian preman menjalankan operasi risikan di premis berkenaan, termasuk memesan hidangan daging anjing susulan maklumat awam yang diterima sebelum itu.

Sementara itu, sumber memberitahu BH, rumah berkenaan dipercayai dijadikan rumah penyembelihan anjing bagi mendapatkan bekalan daging haiwan berkenaan untuk disajikan sebagai hidangan eksotik, namun hanya kepada pelanggan tetap gerai itu.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, gerai berkenaan sudah beroperasi lebih 30 tahun, namun kegiatan berkenaan hanya terbongkar susulan penularan wabak rabies atau anjing gila di negeri ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelanggan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, MPS sedang meningkatkan operasi untuk menangkap anjing liar di kawasan pentadbirannya sebagai langkah awal pencegahan penularan jangkitan rabies walaupun belum ada kes seumpamanya dilaporkan setakat ini.

Timbalan Pengerusi MPS, Rogayah Jamain, berkata pihaknya menubuhkan dua pasukan yang dikerahkan setiap hari bagi menangkap anjing liar, khususnya di kawasan kampung dan taman perumahan.

“Sehingga 10 Julai lalu, sebanyak 266 anjing liar berjaya ditangkap. Kita juga meminta kerjasama pemilik anjing agar lebih bertanggungjawab terhadap haiwan peliharaan mereka.

“Anjing ditangkap akan ditempatkan di Depo MPS selama seminggu dan jika tiada sebarang tuntutan (oleh pemilik sekiranya ada), kita tiada pilihan lain kecuali ‘menidurkan’ anjing berkenaan,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp