Categories : Sukan

 

PENGURUS pasukan gimrama negara, Farrah Hani Imran (dua dari kanan) bergambar bersama Jurulatih Gimrama, Alisa Ajimirova (dua dari kiri); Atlet Gimrama, Shak Yuki dan Amy Kwan (kanan) pada sidang media Program Kita Juara 2017 bersama skuad gimrama di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di Kuala Lumpur, hari ini. – Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Skuad gimrama negara bertekad untuk melakukan yang terbaik bagi mencapai sasaran meraih enam pingat emas di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang akan berlangsung 19-30 Ogos ini.

Pengurus pasukan gimrama negara, Farrah Hani Imran berkata segala persiapan kini berjalan dengan baik dan sasaran enam pingat emas itu dilihat realistik selepas mengambil kira faktor kelebihan beraksi di gelanggang sendiri selaku tuan rumah temasya kali ini.

“Acara individu menawarkan enam pingat emas manakala dua pingat emas lagi datang daripada acara berpasukan dan kita sasarkan untuk merangkul enam pingat emas daripada mana-mana lapan pingat yang dipertandingkan.

“Seperti yang semua tahu, sesetengah perkara kita tidak boleh jangka apa yang akan berlaku, namun peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri sedikit sebanyak memberikan kami semangat untuk berusaha memberikan yang terbaik bagi memastikan sasaran enam emas itu dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Program Kita Juara 2017 bersama skuad gimrama di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Farrah Hani, yang juga bekas ratu gimnas negara, menyifatkan bantuan daripada dua pakar dalam sukan itu sejak Disember tahun lalu membantu meningkatkan mutu persembahan gimnas negara.

Beliau berkata, kehadiran dua pakar itu bertujuan bagi menilai tahap kemampuan gimnas, seterusnya menyediakan satu rutin kompetitif yang sesuai buat setiap gimnas mengikut keupayaan masing-masing.

“Setiap pergerakan gimnas termasuk reaksi wajah sewaktu bertanding mempunyai markah dan tugas pakar itu adalah untuk mengenal pasti keupayaan setiap gimnas supaya mereka mampu beraksi dalam rutin yang sesuai dengan mereka,” ujarnya.

Sebagai rekod, skuad gimrama negara berjaya membawa pulang dua pingat emas dan satu perak pada edisi Sukan SEA 2015 di Singapura. – BERNAMA

Carian Tronexus.rocks:

  • biodata surizan awang noh 2017

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp