Categories : Semasa

 

PRESIDEN MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid. – Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

SHAH ALAM: Graduan Management & Science University (MSU) perlu bersedia meningkatkan diri dengan pelbagai kemahiran agar selari dengan peredaran masa selepas meninggalkan universiti.

Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, berkata graduan MSU tidak boleh terlalu bergantung kepada keputusan cemerlang ketika di universiti semata-mata sebaliknya perlu meningkatkan kemahiran baharu dari semasa ke semasa.

Katanya, antara kemahiran itu termasuk komunikasi yang baik, berfikiran kritis, berdaya saing, kreatif dan inovatif.

“Pendidikan bukan sahaja terletak kepada keputusan peperiksaan cemerlang semata-mata, tetapi karakter yang hebat serta sentiasa berusaha menambahbaik pelbagai kemahiran amat penting agar bergerak selari pembangunan teknologi hari ini.

“Bila bekerja nanti, guna sepenuhnya segala ilmu yang diperoleh ketika di universiti. Kemahiran juga sangat penting terutamanya kemahiran berkomunikasi, berfikiran kritis serta kreatif,” ketika ucapan di Majlis Anugerah Presiden Sesi 2015/2016, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Shukri melahirkan perasaan bangga dan gembira dengan statistik pencapaian keputusan cemerlang tahun ini, yang memberangsangkan ditunjukkan pelajar MSU bagi sesi 2015/2016 lalu.

Beliau berkata, tiga komponen utama yang memberikan pengaruh besar kepada keputusan itu adalah ketekunan pelajar, kesungguhan pensyarah serta sokongan moral yang tidak berbelah bahagi oleh ibu bapa pelajar berkenaan.

Katanya, seramai 284 pelajar menerima Anugerah Presiden sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang masing-masing dalam bidang akademik dengan memperoleh Purata Gred Semester (PNGS) lebih 3.75 ke atas selama tiga semester berturut-turut.

“Penerima anugerah terdiri daripada pelajar program pengajian peringkat diploma dan ijazah pelbagai bidang, antaranya Fakulti Kesihatan & Sains Kehidupan (90 pelajar), Fakulti Pengurusan Perniagaan & Kajian Profesional (60 pelajar), Fakulti Sains Maklumat & Kejuruteraan (30 pelajar), Pusat Pengajian Perubatan Antarabangsa (22 pelajar), Pusat Pengajian Farmasi (26 pelajar), Pusat Pengajian Pendidikan dan Sains Sosial (45 pelajar) dan Pusat Pengajian Hospitaliti & Seni Kreatif (11),” katanya.

Pada masa sama, Mohd Shukri berkata, kajian Pengesanan Graduan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) menyaksikan kebolehpasaran graduan MSU berada pada tahap 98.6 peratus dan tertinggi dalam kalangan institusi pendidikan tinggi Malaysia.

Malah, katanya, MSU memenangi Anugerah Universiti Swasta Paling Berkeusahawanan pada Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (MEA) 2016 selain mendapat penarafan lima bintang dalam Penarafan QS 2016 bagi pengajaran, kebolehpasaran, kemudahan, tanggungjawab sosial dan inklusif.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp