Categories : Hiburan

 

BEKAS anggota duo Azhael, Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Azmi tidak kekok meneruskan langkah sebagai penyanyi solo.

KUALA LUMPUR: Bekas anggota duo, Azhael, Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Azmi tidak kekok meneruskan langkah sebagai penyanyi solo, malah yakin keputusannya itu akan membawa kebaikan kepada dirinya.

Tampil dengan single solo pertama, Jampi, Hael, 29, percaya rezekinya dalam bidang seni akan terbuka luas jika diiringi minat yang mendalam dan kerja keras.

Keyakinan itu mula berputik apabila Jampi yang dilancarkan menerusi medium sosial, semalam menerima sambutan positif peminat.

“Ia adalah pertaruhan solo saya selepas berundur daripada Azhael. Saya mencari rezeki dalam bidang seni, jadi saya mahu terus melangkah dengan mengukuhkan nama sebagai penyanyi dan komposer.

COVER album single solo pertama Hael iaitu Jampi.

“Insya-Allah, jika kita berusaha keras dan yakin dengan bakat yang dimiliki, semua perancangan akan berjalan lancar.

“Tidak banyak perbezaan selepas tidak lagi bersama Azhael, malah hala tuju saya semakin jelas apabila bergerak solo,” katanya.

Positif dengan langkah yang diambilnya, Hael berkata, selain nyanyian, fokusnya juga terarah kepada penghasilan lagu yang lebih serasi dengan jiwanya.

Hael pernah bekerjasama dengan Faizul Sany menghasilkan lagu Hati-Hati nyanyian Amira Othman dan kemampuannya sebagai komposer sekali lagi terbukti menerusi lagu Cemburu nyanyian Nabila yang menjadi siulan ramai.

Lagu terbaru ciptaannya, Girl yang dinyanyikan Dafi juga semakin mendapat tempat di corong radio.

Bercerita mengenai Jampi, Hael berkata, lagu ciptaannya bersama Ezra Kong itu siap dirakam sejak akhir tahun lalu.

“Dari segi muzik, kami memilih untuk menggunakan elemen yang menjadi pilihan pendengar masa kini dan mudah diingati.

“Saya berterima kasih kepada Ezra dan Omar K yang sentiasa memberi laluan serta mempercayai bakat saya dalam penulisan lagu,” katanya.

Terdahulu, Hael pada 1 Februari lalu mengumumkan pengundurannya daripada Azhael menerusi laman Instagramnya selepas mendapat persetujuan pengurusannya iaitu Astro Talent Management.

Pengumuman mengejut Hael itu seolah-olah mengiyakan spekulasi hubungan dinginnya dengan Azhar yang sekian lama diperkatakan.

Hael bagaimanapun menafikan mereka mempunyai masalah, malah menyatakan keputusan berpecah dibuat hasil perbincangan bersama demi perancangan masa depan kerjaya masing-masing.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp