Categories : Hiburan

 

HAFIZ Suip dan Dayang Nurfaizah. – Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Kali pertama membuat persembahan di hadapan keluarga Diraja Johor memberi pengalaman baharu dan keterujaan buat penyanyi Hafiz Suip dan Dayang Nurfaizah.

Apa yang membuatkan dua penyanyi itu rasa bertuah dan bertambah teruja apabila persembahan dilakukan di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Majlis Jamuan Teh Rakyat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor ke-58, hari ini.

Bagi Hafiz, beliau berasa amat bersyukur diberi penghormatan dan peluang menyanyikan tiga buah lagu di hadapan Sultan Ibrahim selain menyifatkan ia sebagai pengalaman baharunya selepas bergiat aktif dalam industri muzik sejak tahun 2009.

“Biasa saya buat persembahan depan orang biasa, tetapi hari ini satu kelainan, benda baharu dengan persembahan penuh protokol di hadapan Sultan Johor.

“Hari ini, saya menyampaikan tiga buah lagu iaitu Negeri Gemilang yang pernah saya nyanyikan dan memenanginya pada Anugerah Lagu Johor tahun lalu selain lagu Awan Nano dan Ku Akui,” katanya ketika ditemui BH, pada majlis itu, hari ini.

Dayang yang membawakan lagu dimenanginya pada Anuerah Juara Lagu (AJL) ke-31, Lelaki Teragung, berasa amat teruja kerana turut menjadi pengalaman baharu kali pertama membuat persembahan di hadapan keluarga Diraja Johor.

“Selalu datang Johor, tetapi hari ini amat teruja diberi penghormatan bersama Youth Orchestra yang sememangnya menjadi waktu ditunggu-tunggu mana-mana penyanyi untuk diiringi orkestra dan menyanyikan lagu di hadapan Sultan Johor.

“Dayang rasa amat bertuah terbabit dalam persembahan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor dan berharap ia dapat menambah pengalaman baharu Dayang dalam industri muzik,” katanya yang turut menyampaikan lagu Di Pintu Syurga.

Sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke majlis Jamuan Teh bersama lebih 10,000 Bangsa Johor di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), hari ini.

Turut berangkat ialah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam serta anakanda baginda.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, barisan EXCO kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan pegawai kerajaan negeri.

Majlis bermula 3 petang hingga 6 petang itu turut diserikan dengan persembahan alunan muzik, tarian dan nyanyian selain mempersembahkan kek Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp