Categories : Hiburan

 

Hafiz Suip

KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz Suip meluahkan kekecewaan apabila beberapa single solonya didakwa tidak diputarkan stesen radio tempatan atas alasan tidak mengikut perkembangan muzik semasa.

Hafiz mengakui bingung berdepan situasi sedemikian, namun sedia menyerapkan elemen terkini untuk pembikinan single akan datang asalkan tidak bercanggah dengan identitinya.

“Saya kurang maklum apabila kebanyakan stesen radio menolak mentah-mentah beberapa lagu saya kerana dikatakan bukan trend terkini. Sejujurnya saya kecewa dengan situasi ini kerana berasa tidak diberi ruang untuk berkarya.

“Namun, kekecewaan ini menjadi pembakar semangat untuk saya lebih berhati-hati memilih lagu baharu pada masa akan datang. Mungkin pemilihan bahan untuk single itu nanti lebih mengikut gaya semasa.

“Tidak dinafikan pengaruh muzik di negara ini kembali berpusing ke era 90-an. Saya boleh cuba menyanyikan lagu berentak sebegitu selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip saya,” katanya kepada BH Online.

Dalam perkembangan terbaru, Hafiz memaklumkan menerima tawaran mengacarakan program nyanyian yang diharap mampu membuatkan dirinya kekal relevan.

“Saya tidak mahu peminat menganggap saya terus hilang begitu saja. Disebabkan itu, saya menyahut cabaran bergelar pengacara. Alhamdulillah, saya lebih lancar berkomunikasi selepas berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp