Categories : Hiburan

 

PENYAMPAI Kool FM, Haiza. – Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang juga penyampai radio Kool FM, Haiza, akur memperuntukkan sebahagian kecil pendapatannya untuk menjaga penampilan dan kecantikan diri dalam meneruskan survival sebagai anak seni.

Pernah melalui situasi naik dan turun dalam kerjaya, penyanyi yang terkenal dengan lagu Dag Dig Dug itu mengakui, tuntutan industri hiburan yang memerlukan penggiatnya sentiasa kelihatan cantik membuatnya tidak lokek melaburkan wang demi menjaga penampilan.

“Dulu, saya tidak pernah ambil peduli malah bersikap sambil lewa terutama dalam aspek penampilan. Selepas melahirkan anak pada tahun 2012, saya menghadapi masalah berat badan kerana gemar makan lewat malam. Ketika itu, berat saya meningkat mendadak.

“Apabila difikirkan semula, terutama melihat kesungguhan peminat yang sanggup melaburkan wang dan masa untuk menyokong kerjaya saya, tidak adil rasanya saya sia-siakan kepercayaan mereka. Sejak itu, saya mula mengambil berat mengenai penampilan diri.

“Saya juga tidak ralat memperuntukkan sedikit pendapatan untuk memastikan penampilan sentiasa cantik dipandang mata. Pada masa sama, saya cuba mengawal pemakanan. Ditambah bebanan kerja, ada ketika saya terlalu penat dan hanya sempat minum sebelum melelapkan mata.

“Ia sedikit sebanyak membantu saya menurunkan berat badan sedangkan dulu menikmati makan malam sudah menjadi tabiat,” katanya.

Haiza mengakui perjalanan kerjaya seninya yang semakin lancar sejak menyertai program realiti, Gegar Vaganza, musim kedua seterusnya disunting Kool FM, menjadikannya lebih berhati-hati memilih kawan.

Bukan mahu mendabik dada dengan kejayaannya, Haiza sebaliknya, gusar didekati kelompok yang ingin melihatnya kembali tersungkur.

“Orang hanya nampak kegembiraan kita, tetapi tiada siapa yang tahu susah payah saya untuk berdiri selesa. Semua kekalutan lalu, saya pendam sendiri. Selama ini, saya bergelut turun naik membuktikan bakat yang ada. Saya tidak gentar mendepani cabaran.

“Alhamdulillah, saya jadi lebih kuat dengan sokongan insan tercinta. Selain suami, anak dan ibu bapa, kelab peminat saya, Haiza Trooper serta rakan media terus positif berdiri di belakang. Mereka yang bersikap positif ini menjadi tulang belakang kekuatan saya untuk terus melangkah,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp