Categories : Hiburan

 

FOUZIAH Gous bersama suaminya.

KUALA LUMPUR: Pelakon, Fouziah Gous, 35, mengumumkan dirinya hamil cahaya mata kedua hasil perkongsian hidup bersama suami, Mohd Zhafran Md Yusof.

Memasuki usia kandungan lima bulan, Fouziah mengaku sambutan Aidilfitri kali ini agak mencabar kerana dirinya cepat letih.

“Ramai saudara mara dan sahabat-handai datang beraya, jadi saya lebih selesa tidak keluar rumah. Boleh dikatakan seharian saya berada di dapur bagi menyediakan juadah buat tetamu.

“Memang penat tetapi seronok melayan tetamu yang setahun sekali dapat berkumpul. Cuma anak sulung, Zeeshan terlebih manja sekarang dan sentiasa mahu didukung.

“Orang kata lumrah cahaya mata sulung seakan dapat menduga ibunya sedang hamil. Buat masa ini, jantina bayi belum dapat dikenal pasti lagi,” katanya kepada BH Online.

Fouziah mengumumkan berita kehamilannya di akaun Instagram, Isnin lalu.

Bekas pengacara program Nona itu berkahwin dengan Zhafran pada 22 September 2013. Mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Muhammad Zeeshan yang kini berusia setahun enam bulan.

Bercerita mengenai kerjaya seni, Fouziah bakal memulakan penggambaran filem mengenai sejarah Melaka yang berjudul Lekir, minggu hadapan.

“Memegang watak Tun Teja, saya sudah menandatangani kontrak sebelum hamil. Mereka tetap memilih saya untuk menjayakan watak itu.

“Tidak tahulah bagaimana kerana perut saya sudah jelas kelihatan,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp