Categories : Semasa

 

KUALA LUMPUR: Penentuan harga runcit semasa produk petroleum di negara ini adalah berdasarkan harga minyak bertapis dan tidak boleh dikaitkan dengan perubahan harga minyak mentah dunia.

Sehubungan itu, tuduhan pemimpin pembangkang yang berpendapat tiada keperluan untuk menaikkan harga petrol bagi Februari atas alasan harga minyak mentah pada Januari jatuh dan ringgit tidak mengalami penurunan berbanding bulan sebelumnya, adalah tidak berasas.

Menjelaskan kaedah penentuan harga petrol dan diesel di negara ini, Pasukan Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) memaklumkan sejak 1 Disember 2014 lagi, ia dibuat berdasarkan sistem apungan terurus berasaskan Mekanisme Harga Automatik (APM).

Sistem itu berdasarkan kadar purata harga produk bertapis untuk menentukan harga runcit di pam bagi bulan berikutnya, bukan berdasarkan harga minyak mentah pada bulan sebelumnya.

Dalam reaksi kepada tuduhan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua, pasukan itu berkata, Malaysia menggunakan sistem harga ‘Singapore Means of Platts’ (MOPS) untuk menentukan harga bahan api itu.

“Kami ingin memaklumkan kepada pemimpin pembangkang serta jentera propaganda mereka bahawa pengguna di Malaysia tidak mengisi minyak mentah ke dalam kereta. Majoriti rakyat mengisi Petrol RON95 atau diesel,” kata pasukan itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, harga minyak global semakin meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan akibat perjanjian untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah oleh negara pengeluar.

“Langkah ini sememangnya menguntungkan Malaysia kerana harga produk petroleum bertapis semakin meningkat disebabkan beberapa faktor, termasuk banyak loji penapisan di serata dunia sudah menghentikan operasi akibat kebakaran dan penyelenggaraan.

“Ia mengakibatkan kekurangan bekalan, tetapi margin keuntungan loji serta harga produk meningkat menyebabkan harga MOGAS 95 naik,” kata kenyataan itu lagi.

Berdasarkan maklumat sistem harga MOPS MOGAS 95 tanpa plumbum, purata harga untuk Januari stabil antara RM305.64 (AS$69) hingga RM310.06 (AS$70) setong, lebih tinggi berbanding harga purata Disember 2016.

Pada bulan terakhir tahun lalu, harga meningkat dengan konsisten daripada RM274.63 (AS$62) pada permulaan bulan kepada RM301.21 (AS$68) pada hari terakhir Disember.

Sehubungan itu, pemimpin pembangkang diminta lebih memahami realiti ekonomi semasa dan harga petrol di negara ini, bukan membuat kenyataan tidak berasas, tidak benar dan sengaja direka untuk menghasut dan mengelirukan rakyat.

“Oleh kerana harga petrol ditentukan oleh sistem apungan terurus, tidak masuk akal untuk menyalahkan kerajaan apabila harga bahan api meningkat disebabkan harga pasaran global.

“Apabila harga petrol dikurangkan, mereka (pembangkang) dakwa ia disebabkan harga global dan langsung tidak memberi kredit kepada kerajaan,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp