Categories : Sukan

 

PEMAIN Negeri Sembilan, Bruno Suzuki meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Sabah di Stadium Tuanku AbdulRahman, Paroi, sebentar tadi. – Foto Hazreen Mohamad

SEREMBAN: Negeri Sembilan memulakan aksi pembuka tirai saingan Liga Perdana 2017, dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan Sabah 3-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Pemain import dari Jepun, Bruno Suzuki muncul wira pasukan itu apabila memperagakan aksi hebat dengan melakar hatrik.

Tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-14 selepas Bruno berjaya melepaskan diri daripada pertahanan lawan untuk gol pertama menewaskan penjaga gol Sabah, Rozamie Rohim.

Bruno terus melebarkan jurang apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-25 menerusi tandukan kencang selepas dia menerima hantaran baik dari Simic Marko dari sebelah kiri pintu gol lawan.

Jaringan itu memberi tekanan kepada Sabah apabila mereka membuat serangan balas namun barisan depan mereka gagal melepasi benteng Negeri Sembilan yang dikawal kemas penjaga gol, Saiful Amar Sudar.

Tuan rumah mendapat sepakan penalti pada minit ke-35 selepas Mohamad Noor Hazrul Mustapa dijatuhkan pertahanan lawan namun sepakan diambil Marko itu berjaya ditepis Rozaimie.

Bagaimanapun kegagalan itu ditebus Bruno apabila dia terus menambah derita pelawat selepas menjaringkan gol ketiga peribadinya pada minit ke-38, hasil bola hantaran Marko dari sebelah kiri, yang kemudiannya berjaya memperdayakan Rozaimie, sekali gus mengukuhkan cengkaman tuan rumah ke atas pelawat.

Sebaik aksi bersambung, skuad Sabah yang dibimbing Steve Vilmiaire dilihat berusaha memperkemaskan jentera pasukan dalam usaha mendapatkan gol bagi merapatkan jurang.

Bagaimanapun pemain lawan gagal melepasi benteng tuan rumah, sebaliknya, anak buah Mohd Asri Ninggal terutama menerusi gandingan Bruno Suzuki dengan Marko terus melancarkan serangan ke kubu pelawat bagi menambah jumlah gol.

Usaha Sabah tidak berhasil biarpun melakukan banyak percubaan ke arah pintu gol, tetapi Saiful Amar terus kebal mempertahankan kubu Negeri Sembilan sehingga ke wisel penamat.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp