Categories : Semasa

 

KANAK-kanak perempuan warga Argentina, Alum Langone Avalos, 7, yang hilang selama tujuh bulan akhirnya ditemui di Indonesia dan sudah dibawa bertemu ibunya, Elizabeth Avalos.

Kanak-kanak itu hilang sejak Jun 2017 di Argentina dan mendapat liputan media antarabangsa termasuk media Malaysia apabila dia dikatakan dilihat di beberapa tempat di negara ini.

Kanak-kanak itu dilaporkan dibawa lari keluar negara secara tidak sah oleh bapanya yang sudah bercerai dengan Elizabeth berhubung pertikaian hak penjagaan Alum.

Duta Argentina di Malaysia, Manuel Balaguer Salas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang tadi memaklumkan, penemuan kanak-kanak itu susulan tangkapan terhadap bapanya di Indonesia, semalam.

Katanya, pihaknya kini sedang menguruskan perjalanan pulang Elizabeth dan Alum ke Buenos Aires, Argentina dengan kerjasama kedua-dua negara.

“Kita berterima kasih kerana hasil maklumat rakyat di negara ini serta di Indonesia, akhirnya kita berjaya menemui kanak-kanak ini biar pun pencarian mengambil masa yang sangat lama.

“Selepas berjaya menemukan kanak-kanak itu dengan ibunya, kita kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia bagi membawa pulang kedua-duanya ke negara asal mereka,” katanya.

Januari tahun lalu, Kedutaan Argentina di Malaysia memohon bantuan orang ramai mengesan Alum yang dilaporkan diculik sejak Jun 2017.

Kedutaan itu dalam satu kenyataan berkata, Alum dengan ketinggian 1.25 meter, berambut coklat gelap dan bermata hijau, kali terakhir dilihat di Kuala Pilah menuju ke Kulai.

“Ibu bapa Alum, kedua-duanya warga Argentina sudah berpisah dan ibunya Elizabeth diberikan hak penjagaan penuh. Ayahnya menculik Alum dari sekolahnya dan meninggalkan Argentina secara haram,” katanya.

Berita berkaitan

Hilang di Argentina kini dilihat di Malaysia[1]

References

  1. ^ Hilang di Argentina kini dilihat di Malaysia (www.hmetro.com.my)


Tags :

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp