Categories : Semasa

 

KEADAAN banjir kilat yang melanda Kampung Sungai Dua, Asahan dekat Jasin. – Foto Zairee Mohd Yasak

JASIN: Sebanyak 18 rumah yang dihuni kira-kira 90 penduduk di tiga kampung di Asahan di sini, dinaiki air susulan hujan lebat sejak awal tadi.

Paras air yang mencecah satu meter mulai jam 11 pagi itu menenggelamkan beberapa kawasan rendah di Kampung Relau, Kampung Bukit Asahan dan Kampung Sungai Dua, susulan hujan berterusan sejak jam 3 pagi.

Seorang penduduk, Nazri Razak, 23, dan keluarganya membuat persiapan awal bagi menghadapi banjir, termasuk menempatkan barangan berharga di tempat tinggi.

“Selepas banjir pertama pada 19 Januari lalu, kami mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menempatkan barangan berharga di tempat tinggi.

“Agensi keselamatan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) banyak membantu penduduk, termasuk memindahkan kami jika keadaan lebih teruk,” katanya yang ditemui di Kampung Sungai Dua, hari ini.

Pegawai Daerah Jasin, Zamrud Yahya, berkata bilik gerakan untuk menempatkan mangsa banjir dibuka di Sekolah Kebangsaan Asahan di sini.

“Kita turut memantau beberapa kawasan panas seperti Pondok Kempas, Kesang, Tehel dan Chohong menerusi bantuan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang memantau paras sungai.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) turut digerakkan untuk memantau laluan yang dinaiki air supaya kerja penandaan jalan dapat dilakukan segera,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Bagaimanapun, sehingga jam 11 malam tadi, belum ada mangsa dipindahkan ke bilik gerakan banjir.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp