Categories : Semasa

 

NAIB Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye menunjukkan kadar indeks jenayah di seluruh negara yang mencatatkan penurunan sebanyak 3,191 kes atau 2.8 peratus daripada 115,545 kes pada tahun 2015 kepada 112,354 kes pada 2016 ketika sidang media di Ayer Keroh, Melaka. – Foto Muhammad Hatim Ab Manan

AYER KEROH: Kadar indeks jenayah di seluruh negara mencatatkan penurunan sebanyak 3,191 kes atau 2.8 peratus daripada 115,545 kes pada tahun 2015 kepada 112,354 kes pada tahun lalu.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata angka yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu membabitkan jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.

“Jumlah kes jenayah kekerasan mencatatkan peningkatan sebanyak 516 kes atau 2.4 peratus iaitu daripada 21,810 kes pada tahun 2015 kepada 22,326 kes pada tahun lalu.

“Menurut PDRM, kes samun berkumpulan tanpa senjata api mencatatkan angka paling tinggi pada kedua-dua tahun terbabit iaitu 10,718 kes pada tahun 2015 dan 10,907 kes pada tahun lalu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, jenayah harta benda merekodkan penurunan sebanyak 3,707 kes atau empat peratus iaitu daripada 93,735 kes pada 2015 kepada 90,028 kes pada tahun lalu.

Kes curi motosikal mencatatkan sebanyak 35,754 kes, diikuti lain-lain kecurian sebanyak 19,894 kes yang dicatatkan pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Lam Thye yang juga Ahli Lembaga Pengarah Media Prima Berhad berkata, bermula tahun ini, pihaknya memutuskan untuk menggerakkan MCPF di peringkat daerah, termasuk melakukan pelantikan pengerusinya.

“Kita sudah mempunyai seramai 800 ahli MCPF di peringkat pusat dan negeri. Pindaan perlembagaan MCPF membenarkan penubuhan jawatankuasa di peringkat daerah untuk menguatkan lagi usaha membanteras jenayah.

“MCPF peringkat negeri perlu mengenal pasti individu yang sesuai untuk dilantik sebagai pengerusi di peringkat daerah, selain perlu memaklumkan pelantikan berkenaan kepada Ketua Polis Daerah,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp