Categories : Hiburan

 

UNGKU Intan Sarafina Ungku Yahya

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Intan Sarafina, menerima secara terbuka kritikan ramai terhadap wajahnya yang dikatakan tidak menunjukkan emosi ketika menyanyi.

Penyanyi dengan nama sebenar Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya, 36, itu mengakui sukar untuk mengubah reaksi pada wajahnya berikutan enggan mengganggu tumpuan kepada nyanyian.

Begitupun, penyanyi yang pernah meledak dengan lagu Duhai Malam ini mengambil segala teguran berhubung perkara itu secara positif.

“Saya sudah cuba sebaik mungkin untuk memberikan pelbagai ekspresi ketika membuat persembahan, namun tidak berjaya. Saya juga tidak mahu kualiti vokal terganggu kerana terlalu mencuba untuk memberikan reaksi wajah ketika berada di pentas.

“Malah, saya turut menghadiri kelas lakonan bagi memperbaiki kelemahan itu, namun mungkin inilah juga diri saya yang sebenar. Oleh itu, saya menerima saja kritikan orang yang menganggap wajah seperti tidak mempunyai perasaan,” kata Intan kepada BH Online.

Intan mengulas perkara itu ketika ditemui pada majlis berbuka puasa sempena sambutan ulang tahun ke-7 syarikat pengurusannya, Laugh Out Loud (LOL) Entertainment Sdn Bhd, di The Club, Bukit Utama di sini, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Intan sepatutnya muncul dengan single terbaharu, Aku Rindu, ciptaan Tam Spider, awal April lalu. Namun ia terpaksa ditangguhkan berikutan beberapa perubahan yang dilakukan hasil perbincangan bersama.

“Jika mengikut perancangan, single terkini saya sepatutnya berada di pasaran pada April, disusuli dengan mini album yang memuatkan enam lagu. Namun pihak pengurusan berasakan lebih baik ditangguhkan dulu bagi menjaga kualiti lagu,” kata Intan.

Meskipun selesa mencuba pelbagai genre, Intan tetap setia dengan konsep balada yang menjadi identitinya ketika mula bertapak pada tahun 2000.

Intan membuat kemunculan semula menerusi program, Super Karoks, seterusnya menyertai Gegar Vaganza musim ketiga yang menyaksikannya menduduki tempat kelima.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp