Categories : Semasa

 

MENTERI Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (dua dari kanan) menyaksikan penyerahan dokumen Ikrar Bebas Rasuah daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi (dua, kiri) kepada Datuk Dzulkifli Ahmad (kanan) pada majlis Bacaan Ikrar Bebas Rasuah dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan di Wisma Perwira, hari ini. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta ahli Dewan Negara mencadangkan kepada kerajaan supaya mengisytiharkan rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh nombor satu negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, berkata keberanian dan sokongan ahli Dewan Negara untuk bersama-sama SPRM perlu bagi memenuhi matlamat berkenaan.

“Sudah tiba masanya bagi semua pihak untuk bersama menyatakan sokongan bahawa isu rasuah dan salah guna kuasa adalah isu nasional yang perlu ditangani bersama oleh semua pihak, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog bersama ahli Dewan Negara yang turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Sri SA Vigneswaran di Parlimen hari ini.

Dzulkifli berkata, setiap kejadian di negara ini berkait rapat dengan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa yang boleh menjatuhkan martabat negara di mata dunia.

“Isu berkaitan dadah, kebolosan sempadan negara, penyeludupan, ketirisan pendapatan serta hasil negara, persempadanan, keganasan, jenayah kewangan, perjudian dan pelacuran semakin berleluasa.

“Ia disebabkan wujudnya amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan agensi penguat kuasa dan mereka yang diamanahkan dengan kuasa.

“Salah satu sebab mengapa isu rasuah dan salah guna kuasa terus wujud adalah kerana agensi-agensi penguatkuasaan gagal melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka,”  katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp