Categories : Sukan

 

JURULATIH beregu lelaki, Jeremy Gan. – Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Jurulatih beregu lelaki, Jeremy Gan mahu anak didiknya, Goh V Shem-Tan Wee Kiong diberi ruang dan peluang untuk kembali bangkit selepas prestasi tidak menentu terutama ketika saingan Piala Sudirman 2017 di Gold Coast, Australia, minggu lalu.

Jeremy mengakui masih banyak yang perlu dilakukan V Shem-Wee Kiong bagi memperbaiki prestasi mereka menjelang Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos depan.

Kemuncak aksi hambar beregu nombor empat dunia itu terserlah pada kempen Piala Sudirman 2017 di Gold Coast Australia, minggu lalu, apabila dua kali tewas kepada gandingan Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda.

“Sebelum ini persiapan Wee Kiong sedikit terganggu kerana mengalami kecederaan dan kita mengetahuinya pada saat akhir sebelum bertolak ke Gold Coast tapi saya rasa mereka sudah memberikan apa yang termampu di sana,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Jeremy berharap, V Shem-Wee Kiong dapat kembali fokus dalam latihan kerana selepas muncul juara di Siri Super Akhir di Dubai Disember lalu, persiapan anak buahnya sedikit terganggu.

“Memang ada sedikit faktor luaran seperti persiapan kahwin tapi mereka perlu bijak membahagikan masa dan tumpuan. Bagaimanapun, ketika kempen Piala Sudirman, masalah utama ialah kecederaan Wee Kiong. 

“Tekanan bagi mereka sekarang memang sangat tinggi tetapi saya harap peminat dan jurulatih memberi sokongan kepada mereka,” katanya.

Ditanya mengenai spekulasi V Shem-Wee Kiong akan dipisahkan, Jeremy mengakui kedua-dua pemain tidak mempunyai sebarang masalah.

“Sebelum Kejohanan Dunia mereka akan beraksi di Terbuka Indonesia (bergantung tahap kecederaan Wee Kiong) dan Australia, namun terserah kepada keadaan Wee Kiong kerana kecederaan lutut kiri kini sangat serius.

“Kita yakin mereka akan kembali pada prestasi sebelum ini menjelang Kejohanan Dunia dan masih ada masa untuk mereka bangkit mempersiapkan diri,” katanya yang tidak menolak kemungkinan pasangan itu menarik diri daripada Terbuka Indonesia sekiranya Wee Kiong belum pulih.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp