Categories : Semasa

 

“SAYA bersama dua anak angkat tidak ada arah tuju selepas dihalau daripada bilik sewa pada 11 malam. Mujurlah jiran tampil membantu, terharu bila ada yang sanggup tumpangkan kami di kediaman mereka,” kata wanita orang kurang upaya (OKU) ketidakupayaan fizikal, Roshida Mansor, 51.

Kejadian menimpa Roshida yang lumpuh separuh badan akibat angin ahmar dan dua anak angkatnya, Mohammad Iman Hafiz Abdul Rahman, 13, serta Nur Fatihah, 9, tular selepas dimuat naik netizen di kumpulan Facebook (FB) Komuniti Taman Dato’ Harun, Sabtu lalu.

Nasib Roshida dan dua anak angkatnya mendapat perhatian pengawal keselamatan Shahrul Nizam Ismail, 43, yang sanggup menumpangkan mereka di kediamannya di Taman Dato’ Harun.

Menceritakan kisahnya, Roshidah berkata, dia tidak dapat bekerja dan hilang punca pendapatan selepas diserang angin ahmar pada 2015, sekali gus hidupnya bergantung kepada ihsan saudara-mara serta kenalan.

Menurutnya, sebelum ini arwah anak saudaranya adalah ahli keluarga paling banyak mengambil berat mengenai keadaan dirinya dan dua anak angkat hingga sanggup menyewakan kediaman untuk mereka di Ipoh, Perak.

“Selepas anak saudara meninggal dunia akibat terbabit kemalangan, kami terpaksa keluar daripada rumah berkenaan kerana tidak mampu bayar sewa dan menumpang di kediaman rakan di Taman Medan.

“Namun, beberapa minggu kemudian, keluarga rakan minta kami pindah. Mungkin disebabkan kehadiran kami membebankan mereka, berikutan itu saya bersama dua anak angkat menumpang di sebuah surau di Taman Dato’ Harun selama tiga minggu.

“Sabtu lalu, seorang wanita tampil dan bawa kami pindah ke sebuah bilik, malah dia sanggup bayar sewa bulanan sebanyak RM150,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Roshida berkata, selepas berpindah ke bilik berkenaan, mereka didatangi pemilik kediaman yang meminta bayaran tambahan sebanyak RM50 bagi setiap anaknya.

Katanya, dia bernasib baik kerana wanita sama sanggup menampung bayaran tambahan seperti diminta pemilik kediaman terbabit.

“Tapi pada malam hari sama, pemilik kediaman datang untuk pulangkan wang dan minta kami keluar, dia beri alasan anak saudaranya pula mahu sewa bilik berkenaan.

“Kami yang kebingungan tidak ada pilihan dan keluar daripada bilik meskipun ketika itu sudah 11 malam. Mujur masih ada pihak sudi membantu, sekarang kami tinggal di rumah Shahrul Nizam bersama isteri dan tiga anaknya,” katanya.

Menceritakan mengenai kedua-dua anak angkatnya Roshida berkata, dia menjaga Mohammad Iman Hafiz dan Nur Fatihah sejak kecil lagi selepas diserahkan kepadanya oleh keluarga masing-masing.

“Ibu Mohammad Iman Hafiz, sudah pulang ke Indonesia. Manakala ibu Fatihah masih berada di negara ini dan saya masih berhubung dengan wanita itu, malah dia kerap berikan wang untuk tampung belanja persekolahan anaknya.

“Selama tinggal di Ipoh tahun lalu, saya terima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, tapi selepas pindah ke Petaling Jaya ia dihentikan.

“Sekarang makan minum kami bergantung pada ihsan orang ramai, sepatutnya saya perlu kerap ke hospital untuk rawatan susulan, namun kekangan kewangan membataskan pergerakan saya,” katanya.

Sementara itu, Shahrul Nizam ketika ditemui berkata, dia ikhlas menumpangkan Roshidah dan dua anak angkatnya di kediamannya kerana bimbang terhadap keselamatan mereka.

“Saya bukan orang senang, jadi kami faham keperitan dan kepayahan ditempuh Roshida. Meskipun serba kekurangan, kami sekeluarga sepakat untuk bantu dia dan dua anak angkatnya,” katanya.

Orang ramai mahu membantu meringankan beban Roshida dan dua anak angkatnya boleh menghulurkan sumbangan menerusi akuan Maybank milik Roshida bernombor 162777175268.


Tags :

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp