Categories : Hiburan

 

PELAKON dan pengacara, Juliana Sophie Johari Evans. – Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Berstatus isteri kepada kerabat membuatkan pelakon dan pengacara, Juliana Sophie Johari Evans, 27, lebih berhati-hati dalam memilih tawaran berlakon.

Katanya, beliau harus berbuat demikian demi menjaga statusnya sebagai isteri dan nama baik keluarga mentua.

Beliau juga mengaku cukup bertuah kerana keluarga suaminya bukan sekadar memberikan galakan untuknya terus menjadi anak seni, malah mendorong beliau membabitkan diri dalam bidang perniagaan.

“Saya akan meneruskan kerjaya seni, malah keluarga mentua juga memberikan galakan untuk saya terus berlakon. Selain itu, mereka turut menggalakkan saya terbabit dalam perniagaan.

“Alhamdulillah, keluarga suami menerima saya seadanya dan mereka tidak pernah mendesak saya untuk meninggalkan bidang kerjaya saya selama ini,” katanya ketika ditemui pada majlis buka puasa HBO dan tayangan filem The Secret Life Of Pets di ibu kota, semalam.

Walaupun tinggal bersama mentua di Shah Alam, Juliana menganggap kehidupannya tidaklah terlalu terikat dengan protokol istana.

“Keluarga suami saya sangat kasual. Cuma, dari segi percakapan, perlulah ada protokol dan saya cuba sedaya yang boleh untuk mengikut cara istana.

“Pada hari pertama dan kedua puasa, saya berbuka bersama keluarga mentua dan pada hari ketiga pula, kami bersama keluarga saya serta kawan-kawan lain. Inilah juga antara waktunya kita mengeratkan hubungan,” katanya.

Selepas bergelar isteri kepada Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah, 29, pada 30 April lalu, pasangan ini belum sempat berbulan madu disebabkan kesibukan suaminya.

Malah, majlis resepsi yang pada mulanya dirancang selepas Hari Raya juga hanya akan berlangsung pada November depan.

“Asalnya kami nak buat lepas raya, tetapi banyak perkara perlu dirancang. Dengan kesibukan kami dan bulan puasa, rasanya November ialah masa yang lebih sesuai,” katanya yang mengaku masih menyesuaikan diri dan mempelajari cara kehidupan keluarga istana.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp