Categories : Semasa

 

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Kamal Khalid, sebagai Pengarah Urusan Kumpulan yang baharu berkuat kuasa 2 Ogos 2017, menggantikan Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Kumpulan media bersepadu terbesar Malaysia itu menyatakan, sebagai persediaan menyandang jawatan baharu itu, Kamal yang kini Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima (RTMP), dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan berkuat kuasa hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, Media Prima menyatakan Kamal sudah berkhidmat bersama kumpulan sejak 2009 dan memainkan peranan penting dalam perubahan serta pengembangan inisiatif digital perniagaan RTMP.

Sebelum menyertai Media Prima, beliau berkhidmat sebagai Ketua Unit Komunikasi di Jabatan Perdana Menteri dari tahun 2003 hingga 2009 serta pernah menimba pengalaman dalam industri perbankan dan pembiayaan ekuiti persendirian ketika bekerja dalam sektor perkhidmatan kewangan.

Kamal, 46, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) dari Universiti Nottingham, United Kingdom, juga pernah berkhidmat selama tiga tahun di Bahagian Dasar dan Pembangunan Bursa Malaysia, selain menjadi ahli sekutu (Fellow) Eisenhower Malaysia pada 2005.

Dalam pada itu, Media Prima turut mengumumkan Amrin yang menamatkan perkhidmatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan berkuat kuasa 1 Ogos depan, akan kekal menjadi ahli lembaga pengarah MPB sebagai Pengarah Eksekutif bagi membantu proses peralihan kepimpinan kumpulan.

Sementara itu, Amrin berkata, pihaknya amat yakin dengan pelantikan Kamal yang mana ciri kepimpinan, pengetahuan, pengalaman dan hubungan erat beliau dengan lembaga pengarah dan barisan pengurusan kanan yang sedia ada akan membolehkan proses peralihan dan integrasi berjalan dengan lancar.

“Kami akan membantu sedaya-upaya semasa tempoh peralihan ini,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Media Prima turut mengumumkan pelantikan Farnida Ngah sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan berkuat kuasa 2 Ogos 2017, menggantikan Mohamad Ariff.

Farnida, 40, kini adalah Pengurus Besar Kumpulan, Kewangan Kumpulan dan Kesetiausahawan yang menyelia fungsi Kewangan Kumpulan, Perbendaharaan, Kewangan Korporat dan Kesetiausahawan Syarikat.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dengan pengkhususan dalam Perakaunan dan Kewangan dari Universiti Flinders di Australia Selatan, itu mempunyai lebih 18 tahun dalam bidang perakaunan, kewangan, penjaminan perniagaan (business assurance) dan khidmat nasihat korporat.

Sebelum berkhidmat di Media Prima pada 2006, beliau pernah bekerja di firma PricewaterhouseCoopers selama enam tahun dan empat tahun di KPMG.

Mohamad Ariff pula akan kekal bersama Media Prima sebagai Pengarah di Pejabat Pengarah Urusan Kumpulan hingga 31 Disember 2017 bagi membantu Pengurusan Kanan Kumpulan dalam pelaksanaan inisiatif transformasi perniagaan Odyssey 2.0.

Menurut Media Prima, pihak lembaga pengarah sudah mengkaji secara menyeluruh calon dalaman dan luaran, dan berbangga Kamal menerima jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi dan penyandang bagi jawatan Pengarah Urusan Kumpulan.

“Kamal mempunyai kepakaran dan ciri kepimpinan yang diperlukan untuk memacu kumpulan ke hadapan selaras dengan pelan transformasi yang telah dirancang.

“Lembaga Pengarah juga menjangkakan peralihan tugas yang lancar memandangkan pengetahuan komprehensif Kamal dalam industri media,” katanya.

Media Prima menambah, pelantikan Farnida adalah tepat kerana langkah itu akan memberi kesinambungan kepada strategi kewangan utama serta inisiatif pengoptimuman kos yang sedia ada.

Lembaga Pengarah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Amrin yang dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan pada 2009, dan Mohamad Ariff atas sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan bersama Media Prima.

Carian Tronexus.rocks:

  • ketua kewangan media prima biodata farnida ngah

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp