Categories : Semasa

 

SERDANG: Persatuan Kanser NetWork Selangor dan Wilayah Persekutuan (KanWork) memperkenalkan platform mengumpul sumbangan ‘MyGift2KanWork’ untuk membantu kebajikan pesakit kanser.

Platform menerusi http://donate.kanwork.org yang dilancarkan hari ini membolehkan orang ramai menyumbang secara terus kepada persatuan itu.

Pengerusi KanWork, Dr Mazanah Muhamad, berkata KanWork tidak memiliki sebarang sumber tetap dari mana-mana pihak sejak diwujudkan pada 2005 lalu.

Katanya, ketika ini kegiatan persatuan itu hanya bergantung kepada yuran keahlian sebanyak RM30 setahun dan sumbangan orang ramai.

Sumbangan itu, beliau berkata, tidak cukup untuk menampung semua kegiatan seperti program pendidikan, kesedaran awam, sokongan pesakit dan penerbitan bahan maklumat mengenai kanser.

“Kami juga mempunyai talian bantuan 1 800 228672 yang beroperasi pada waktu pejabat bagi sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan maklumat kesihatan, pencegahan dan sokongan moral berkaitan penyakit kanser.

“Usaha ini perlu dilakukan berterusan bagi menghapus persepsi bahawa kanser tidak boleh dicegah atau dirawat,” katanya selepas melancarkan ‘MyGift2KanWork’ pada KanWork Charity Hi-Tea 2017 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Datuk Mariam Mas Yacob dan Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris.

Sementara itu, bekas pesakit kanser payudara, Wan Hanisah Wan Omar, 63, menceritakan pengalamannya mengesan kanser pada peringkat awal mampu menyelamatkannya daripada terus merebak.

Katanya, dia membuat pemeriksaan kesihatan setiap tahun sehinggalah doktor mengesan satu ketulan kecil pada 2006.

“Alhamdulillah selepas melakukan pembedahan mengeluarkan ketulan itu pada 2007 tanpa perlu membuang payudara, saya sudah bebas daripada penyakit itu dan tidak berulang kembali.

“Amalan cara hidup, pemakanan yang sihat, serta bekalan oksigen yang mencukupi dalam badan ialah langkah pencegahan kanser paling berkesan,” katanya.

Sementara itu, pesakit kanser payudara peringkat tiga, Noraini Mat Zin, 61, mengakui pengabaian kesihatan dan perasaan takut ke hospital menyebabkan beliau terpaksa menanggung penyakit itu sejak 18 tahun lalu.

Katanya, dia mengalami simptom sakit belakang sejak 1995 namun tidak pernah mendapat rawatan sehinggalah 1999, dia disahkan menghidap barah selepas dimasukkan ke wad kerana keadaan sakit belakang yang kritikal.

“Beberapa ketulan sebesar ibu jari dikesan terdapat di bawah ketiak dan payudara yang menyebabkan payudara terpaksa dibuang dan sehingga kini saya masih menjalani rawatan,” katanya.

INFO

Talian bantuan 1 800 228672

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp