Categories : Jenayah

 

AMBULANS EMRS Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah kelihatan berada di perkarangan Pelabuhan Kota Kinabalu berikutan kejadian sebuah kapal kargo mengalami kebocoran gas yang menyebabkan tiga kru kapal kritikal dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth. – Foto Mohd Adam Arinin.

KOTA KINABALU: Tiga kru kapal kargo dari Vietnam ke Filipina kritikal, dipercayai akibat kebocoran gas dari tempat simpanan beras ke bilik kawalan enjin kapal itu, di luar perairan daerah ini, tengah hari tadi.

Kapal kargo Vimaru Pearl yang membawa muatan beras dan berdaftar di Vietnam itu, tiba di Pelabuhan Kota Kinabalu, Jalan Tanjung Lipat di sini, pada jam 6.30 petang tadi.

Difahamkan kapal kargo itu singgah ke Pelabuhan Kota Kinabalu bagi mendapatkan bantuan kecemasan.

Semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) dengan menggunakan ambulans QEH dan kenderaan Unit Penyelamat dan Paramedik (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu yang berada di jeti itu sejak 2.45 petang tadi.

Difahamkan, kapal kargo bertolak dari Ho Chi Minh, Vietnam pada jam 3.23 pagi, Khamis lalu dan dijadualkan tiba di Filipina pada jam 9.30 pagi esok.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan kebocoran gas di atas kapal muatan beras itu pada jam 2.34 petang tadi.

“Hasil maklumat awal yang diterima daripada pemanggil, berlaku kebocoran gas dari tempat simpanan beras yang masuk ke dalam bilik kawalan enjin. Ada tiga kru kapal dilaporkan berada dalam keadaan kritikal,” katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, anggota dari Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) BBP Kota Kinabalu sedang menjalankan kerja mengawal dan meneutralkan kebocoran gas berkenaan.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp