Categories : Semasa

 

MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. – Foto Aizuddin Saad

CHUKAI: Kerajaan akan membina pusat pembekuan ikan di seluruh negara dalam usaha menstabilkan bekalan dan harga ikan di pasaran tempatan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata pusat pembekuan ikan yang menggunakan teknologi ‘Individual Quick Frozen’ (IQF) itu adalah bagi menampung keperluan bekalan ikan di seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan membina loji pertama menggunakan teknologi itu di Kedah dalam masa terdekat.

“Kerja pecah tanah bagi memulakan kerja pembinaan loji berkenaan akan dilakukan pada minggu hadapan di Kuala Kedah, Kedah.

“Pusat berharga kira-kira RM25 juta itu dijangka siap dalam tempoh tiga bulan dan mampu menyimpan sebanyak 800 tan metrik ikan pada satu-satu masa,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kemaman, Kijal dan Kemasik di Dewan Berlian Chukai di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata, melalui teknologi IQF, pembekuan ikan tidak dilakukan secara longgokan, sebaliknya dibekukan setiap ekor supaya ia lebih mudah dicairkan serta kualitinya terjamin.

“Kerajaan akan mencari kaedah tertentu untuk mengurangkan kos penggunaan elektrik di loji penyimpanan ini dan antara kaedah dicadangkan ialah penggunaan tenaga solar atau angin,” katanya.

Sementara itu Ahmad Shabery berkata, kerajaan memperuntukkan RM1.35 juta bagi membangunkan sektor perikanan serta meningkatkan pendapatan nelayan dan pengusaha projek perikanan di daerah ini.

Katanya, peruntukan itu meliputi projek pembinaan dewan nelayan dan restoran ketam di Kijal serta projek pembekalan sangkar, benih dan makanan di jeti FELDA Cherul serta jeti tambatan bot di Kemasik, di sini.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp