Categories : Semasa

 

TAN Sri Noh Omar (tiga kanan) bersama Naib Presiden Bahagian Komunikasi Korporat MDEC Mohd Razaleigh Zainal (enam kanan) dan Presiden Majlis Belia Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (empat kiri) Merasmikan YouCanDuit Peringkat Negeri Selangor di Anugerah Belia Negara 2017 di SMK Taman Medan. – Foto Salhani Ibrahim

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor digesa memberi penjelasan mengenai projek pembangunan di kawasan tadahan air Paya Indah Wetland, Dengkil yang terus dibangunkan walaupun masih belum mendapat kelulusan pihak bertanggungjawab.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, berkata beliau terkejut bagaimana projek berkenaan sudah dimulakan sedangkan ia masih belum dibentangkan di mesyuarat Majlis Pembangunan Fizikal Negara (MPFN).

Katanya, pada mesyuarat majlis itu dua minggu lalu, kerajaan Selangor diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, hadir namun kertas pembangunan projek itu tidak dibawa untuk dibincangkan.

“Ia kerana terdapat 135 komen daripada pelbagai agensi terhadap projek itu yang bererti kalau projek itu diteruskan akan memberi kesan buruk kepada ekosistem, alam sekitar dan penduduk setempat.

“Jadi saya terkejut bagaimana kerajaan Selangor boleh memulakan kerja di kawasan ini sedangkan kertas untuk mendapat kelulusan daripada MPFN masih belum dibentangkan.

“Justeru, kita pulangkan semula kertas ini untuk kerajaan Selangor buat mitigasi mengenai komen ini. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga perlu jawab isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Belia Negara peringkat Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Medan, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Presiden Majlis Belia Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi.

Bulan lalu, Pengerusi Gabungan NGO Negeri Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos menggesa Mohamed Azmin menjelaskan sama ada projek bernilai RM30 bilion yang diluluskan di kawasan tadahan Air Paya Indah Wetland itu mempunyai kaitan dengan Pilihanraya Umum nanti.

Pada sambutan hari belia itu, Majlis Belia Selangor mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Records apabila menerusi jumlah penyertaan menggunting rambut teramai iaitu 1,601 orang dalam tempoh 24 jam.

Dalam perkembangan lain, Noh berkata, kementerian merancang meminda Akta Bomba 1988 bagi memudahkan penyertaan orang ramai termasuk pertubuhan belia sebagai anggota bomba sukarela.

Katanya, ketika ini mana-mana pihak yang mahu menubuhkan unit bomba sukarela perlu mendaftar dengan pertubuhan pendaftar (RoS) terlebih dulu.

“Namun, dengan pindaan ini pihak yang berminat mahu menubuhkan bomba sukarela boleh terus mendaftar dengan Jabatan Bomba tanpa perlu melalui RoS.

“Ia sama seperti pertubuhan belia yang boleh terus didaftar dengan Kementerian Belia dan Sukan tanpa perlu melalui RoS,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp