Categories : Sukan

 

PEMAIN Keris Conlay Rugby Club, Jone Marawa Nasalo (tengah) diasak pemain Eagles Rugby Club, Omar Slaimankel (kanan) pada perlawanan akhir AirAsia Malaysia Rugby Championship di Padang Universiti Putra Malaysia (UPM). – Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Keris Conlay gah menakluk Kejuaraan Ragbi Malaysia AirAsia 2017 selepas menewaskan Kelab Ragbi Eagles 15-12 dalam aksi final sengit di sini, sebentar tadi.

Beraksi di Padang A Universiti Putra Malaysia (UPM), Conlay yang selesa mendahului 15-5 pada babak pertama bagaimanapun hampir dikejutkan dengan kebangkitan Eagles yang cuba mengejar di saat akhir permainan.

Namun, percaturan jurulatih Conlay, Mohd Farid Syazwan yang menerapkan taktikal bertahan pada separuh masa kedua memastikan pasukan yang berpangkalan di Selangor itu menyambar kejuaraan berkenaan buat kali pertama.

“Memang satu aksi final yang sengit, sejak dari awal kita sudah jangkakan Eagles akan bagi cabaran hebat apatah lagi dengan status kami sebagai pasukan bukan pilihan.

“Mujur, strategi saya pada separuh masa kedua – menyuruh pemain bertahan – berkesan dalam menyerap setiap asakan lawan,” katanya sebaik ditemui selepas tamat aksi final itu.

Sebagai juara Conlay yang rata-ratanya dibarisi pemain separuh masa membawa pulang piala pusingan dan wang tunai RM 12,000 manakala Eagles menerima wang tunai RM 6,000.

Pada aksi final itu, Eagles yang juga juara Liga Premier Ragbi Borneo Malaysia terlebih dulu di depan menerusi try Mohd Fikri Sawi pada minit kelapan, namun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila disamakan pemain sayap import Conlay, Peniasi Senikarakia enam minit kemudian juga menerusi try.

Try itu nyata membakar semangat Conlay yang terus mengganas menerusi try Mohd Fared Yahaya diikuti conversion dan penalti Mohd Fairuz Ab Rahman sebelum berakhir 40 minit separuh masa pertama untuk mendahului 15-5.

Bersambung babak kedua, Eagles yang diperkuatkan kehadiran jurulatih berpengalaman Bradley Moni Mika yang pernah mewakili All Blacks cuba bangkit, namun try Eric Durim dan conversion William Douglas sudah terlambat untuk tewas 15-12 kepada Conlay yang tempang tanpa dua pemain utamanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp