Categories : Jenayah

 

MANGSA mati didera, Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain (tengah). – Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menubuhkan Lembaga Penyiasatan Khas berhubung kematian Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain pada Khamis minggu lalu, dipercayai didera rakan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata lembaga itu dipengerusikan oleh Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor.

Katanya, pada masa sama, beliau juga sudah mengarahkan ATM untuk menilai semula sistem latihan dan pengurusan pelatih di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK).

“Ketika ini, saya sedang menunggu laporan siasatan daripada lembaga berkenaan bagi mengetahui punca sebenar kejadian sekali gus mengenal pasti individu yang terbabit.

“Hasil siasatan termasuk menemuramah rakan arwah akan dilaporkan terus kepada saya.

“Dalam perkara ini, saya konsisten bahawa sesiapa yang terbabit dan didapati bersalah mesti dikenakan tindakan undang-undang. Saya beri jaminan tiada siapa pun akan dilindungi dalam kes ini. Ini janji saya kepada keluarga arwah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat keluarga Allahyarham Zulfarhan Osman di Bandar UDA Utama di sini, hari ini.

Hishammuddin yang tiba pada jam 4.30 petang meluangkan masa hampir 40 minit selain turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga Allahyarham.

Zulfarhan yang juga pelajar jurusan kejuruteraan elektrik Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) meninggal dunia pada Khamis lalu dipercayai akibat didera.

Zulfarhan dipercayai ditekap dengan seterika wap, disebat dengan tali pinggang serta didera oleh sekumpulan penuntut universiti berkenaan pada 20 dan 21 Mei lalu.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp