Categories : Semasa

 

PRESIDEN CUEPACS, Datuk Azih Muda merasmikan Seminar Pendidikan dan Pengurusan Kesatuan Peringkat Kebangsaan 2017 di Hotel International Kuala Lumpur, Turut hadir Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad (kanan). – Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB) akan bergabung dengan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dalam masa terdekat untuk membela nasib guru.

Presidennya, Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata keputusan berkenaan dilakukan sebulat suara semalam, dalam mesyuarat ringkas ketika Seminar Pendidikan dan Pengurusan Kesatuan Peringkat Kebangsaan 2017.

Beliau berkata, kesatuan wajar melaksanakan tindakan segera dan meningkatkan keperluan bergiat aktif untuk memperjuangkan nasib guru sebagai kakitangan awam.

“Kesatuan percaya hubungan baik CUEPACS, selepas ini akan di beri perhatian mendalam sekali gus, mengangkat martabat institusi pendidikan negara.

“Ketika ini, guru banyak berdepan cabaran dan tekanan beban kerja yang dilambakkan di luar bidang tugas mendidik pelajar, ” katanya berucap ketika Majlis Perasmian Seminar Pendidikan dan Pengurusan Kesatuan Peringkat Kebangsaan 2017, sebentar tadi.

Yang turut hadir merasmikan seminar berkenaan, Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda. Sementara itu, Azih berkata guru dikongkong atau diikat dasar yang membebankan selain cabaran dunia global.

“Guru berdepan banyak tekanan, dipermainkan dan ada antaranya, dicabar ibu bapa, komuniti serta dikenakan tindakan disiplin.

“Justeru itu, kesatuan dan guru tempatan perlu melengkapkan dunia kesatuan dengan pergabungan … tidak ada yang nak membela nasib melainkan kita sendiri,” katanya.

Selain itu, Azih berkata, CUEPACS bercadang meminta kerajaan menubuhkan Majlis Perundingan Gaji Sektor Awam untuk meneliti penggajian penjawat awam.

Pada majlis berkenaan, KGGMMB turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima, usaha membantu kesengsaraan etnik Rohingya yang menjadi mangsa keganasan di Myanmar.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp