Categories : Sukan

 

PELARI pecut dari Melaka, Khairul Hafiz Jantan. – Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Jika prestasi semasa menjadi ukuran, raja pecut negara Khairul Hafiz Jantan dijangka tidak berdepan masalah menghadirkan emas 100 meter di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), Ogos depan.

Jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim berpendapat kelebihan kini lebih memihak kepada Khairul Hafiz berbanding juara bertahan Eric Shauwn Cray dari Filipina.

Menurut Poad, Cray dilihat semakin sukar menandingi atlet berusia 19 tahun itu selepas gagal menunjukkan rentak larian yang positif sepanjang musim ini.

Ketika ini catatan semusim terbaik Khairul Hafiz adalah 10.24 saat yang dilakukan pada Kejohanan Trek dan Padang Asia di India, minggu lalu berbanding Cray iaitu 10.31s dilakukan tiga bulan lalu.

“Bagi saya ketika ini sukar buat Eric untuk mengatasi Khairul Hafiz dalam acara 100m dan potensi buat Khairul Hafiz tetap ada di Sukan SEA nanti.

“Dan saya tidak lihat ada pencabar lain terutama dari Thailand dalam acara 100m,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) di ibu negara, hari ini.

Selepas ini, Khairul Hafiz serta skuad olahraga kebangsaan akan menghadapi Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia selama dua hari yang bermula esok.

Bagaimanapun, anak jati Melaka itu hanya akan menyertai acara 200m dengan 100m akan disertai Badrul Hisyam Abdul Manap.

Walaupun tiada sebarang sasaran disandarkan kepadanya dalam saingan pra Sukan SEA itu, Khairul Hafiz tetap akan memberikan yang terbaik.

“Ia peluang terbaik buat saya merasai suasana baharu Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum Sukan SEA 2017 bermula ketika semua pencabar terhebat di rantau ini akan menguji kemampuan masing-masing. Ini menyebabkan saya lebih bersemangat,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp